Hendak Seribu Daya

      No Comments on Hendak Seribu Daya

Seorang menteri menggesa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memberikan keutamaan terhadap usaha memperbaik masalah penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat bukan Melayu lebih dahulu sebelum memperkenalkan Ujian Kefahaman Bahasa Melayu kepada pelajar asing yang mengikuti pengajian di universiti awam dan swasta di negara ini.  Gesaan itu dapat dilihat sebagai “pengakuan” oleh menteri tersebut tentang ketidakupayaan segelintir masyarakat Malaysia menggunakan bahasa Melayu, bahasa kebangsaan negara.

Pada hakikatnya, masalah yang ditimbulkan oleh Datuk Dr. Wee Ka Siong  itu bukanlah perkara baharu, malah telah berlanjutan sejak negara ini mencapai kemerdekaan.  Yang dikemukakannya itu pula kelihatan selari dengan titah sultan Perak ketika merasmikan mesyuarat pertama penggal ketiga Dewan Undangan Negeri Perak ke-13 di Ipoh pada 31 Mac 2015 yang lalu.

Menurut Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, tidak bermakna menjadi warga sesebuah negara jika seseorang itu tidak memahami, malah jauh sekali mampu menuturkan bahasa kebangsaan negaranya.  Hal ini dikatakan demikian kerana baginda berpandangan bahawa setiap warganegara Malaysia wajib berupaya berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan negara mereka.

Sebenarnya perkara ini telah ditimbulkan oleh Pelita Bahasa enam tahun yang lalu.  Yang diamati di Tronoh, Perak, ketika itu ialah masih ada rakyat Malaysia – bukan penutur jati bahasa Melayu – yang tidak berupaya menuturkan bahasa tersebut.  Walaupun yang menunjukkan ketidakmampuan itu kelihatannya warga emas, hal tersebut tidak sepatutnya berlaku oleh sebab mereka warga negara yang mempunyai bahasa kebangsaannya sendiri.

Oleh hal yang demikian, gesaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri  itu perlu juga diberi perhatian.  Namun begitu, apakah lagi usaha yang dapat dilakukan oleh DBP?  Penjaga kedaulatan bahasa kebangsaan negara telah menggerakkan sebuah bahagian khusus untuk meningkatkan penggunaan dan penguasaan bahasa Melayu  dalam masyarakat bukan penutur jati bahasa itu sejak tujuh tahun yang lalu.

Pada hakikatnya, pelbagai aktiviti dianjurkan oleh DBP, dengan kerjasama pelbagai pihak, untuk membolehkan masyarakat bukan Melayu memajukan diri mereka dalam penggunaan bahasa kebangsaan.  Sebagai contoh, bersama-sama Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, diadakan program penggalakan penggunaan bahasa kebangsaan di kampung baru.  Oleh itu, DBP dan kerajaan tidak pernah mengabaikan tugas dan tanggungjawab untuk meningkatkan penggunaan dan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia, termasuk masyarakat bukan Melayu.

Mungkin ada baiknya jika Ujian Kefahaman Bahasa Melayu dipanjangkan kepada rakyat Malaysia juga.  Sebagai contoh, jika warga negara ini ingin memohon bantuan daripada kerajaan, seperti bantuan rakyat 1 Malaysia dan perumahan rakyat 1 Malaysia, mereka perlu menduduki ujian tersebut.  Jika lulus, bantuan itu disalurkan kepada mereka.  Dengan hal yang demikian, barulah penerima bantuan kerajaan itu terdiri daripada rakyat yang benar-benar warganegara Malaysia – mereka yang turut mampu menuturkan bahasa kebangsaan negara.

Kata orang tua-tua, hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

Armin  Azhari Saleh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *