Guru Ibu Bapa Kedua Pelajar

      No Comments on Guru Ibu Bapa Kedua Pelajar

Oleh AMIRAH SYAZWANI BADEROL SHAM

Dalam arus modenisasi, masyarakat kini, terutama golongan remaja, terdedah kepada pelbagai cabaran persekitaran yang tidak sihat. Cabaran ini menjadikan profesion perguruan di Malaysia semakin mencabar bagi melahirkan masyarakat yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berakhlak mulia. Tambahan pula, keadaan ekonomi sekarang menuntut ibu bapa bekerja lebih masa sehingga adakalanya mereka tidak menyedari bahawa kegagalan mereka memberikan kasih sayang dan pengawasan kepada anak mereka mengundang leluasanya masalah sosial dalam kalangan remaja kini. Hal ini menyebabkan bebanan insan yang bergelar guru bertambah kerana kebanyakan masa dihabiskan oleh remaja di sekolah bersama-sama mereka.

Menurut Noriati A. Rashid dalam bukunya Guru dan Cabaran Semasa, dua cabaran pendidikan alaf baharu sejak tahun 1997 yang kerap diutarakan dalam persidangan nasional ialah ledakan ilmu yang berbentuk global dan masalah sosial yang perlu ditangani dan diatasi ke arah membentuk masyarakat madani. Dalam kehidupan, kepentingan ilmu merupakan hakikat yang tidak dapat dinafikan lagi. Tanpa ilmu, seseorang mudah ditipu dan diperdaya oleh orang lain. Dunia global pada masa ini menuntut kita agar menjadi masyarakat yang berilmu dan bermaklumat, Oleh itu, di bahu gurulah tergalasnya peranan sebagai agen perubahan bagi membina ilmu dan menyempurnakan akhlak dalam kalangan pelajar Malaysia.

Di sekolah, guru berperanan membawa perubahan dalam masyarakat melalui ilmu dan pengetahuan dalam sesi pelajaran dan pemelajaran. Melalui sesi ini, guru dan pelajar akan melalui proses penyampaian ilmu pengetahuan, maklumat dan kemahiran. Hal ini dikatakan demikian kerana pendidikan bertujuan menghasilkan perubahan positif dalam pembentukan pemikiran dan tindakan seseorang individu yang seterusnya membolehkannya berfungsi dengan sempurnanya dalam masyarakat atau ruang lingkup kehidupannya. Imam al-Ghazali mentakrifkan guru sebagai orang yang menyampaikan sesuatu yang baik, positif, kreatif, atau membina kepada orang yang berkemampuan tanpa mengira peringkat umur walaupun terpaksa melalui pelbagai cara dan kaedah tanpa mengharapkan sebarang ganjaran.

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa Bil. 5 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *