Persembahan untuk Sultan Perak

      No Comments on Persembahan untuk Sultan Perak

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa setiap warganegara Malaysia wajib berupaya berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan yang menjadi platform untuk mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa berperanan sebagai saluran komunikasi.  Menurut baginda lagi, tidak bermakna menjadi warga sesebuah negara jika seseorang itu tidak memahami, malah jauh sekali mampu menuturkan bahasa kebangsaan negaranya.

Baginda juga berpandangan bahawa dasar terbuka kerajaan persekutuan terhadap aliran bahasa pengantar di sekolah tidak bermakna bahawa kerajaan boleh terlepas pandang aspek memastikan setiap warga Malaysia dididik dari alam persekolahan untuk berupaya menguasai bahasa kebangsaan. Oleh itu, setiap sekolah, terutama sekolah bukan aliran kebangsaan, mempunyai tanggungjawab yang besar dan tanggungjawab bersama untuk menyemai semangat patriotisme dan pengetahuan kenegaraan kepada setiap murid.

Sehubungan dengan itu, titah baginda, yang dilafazkan ketika majlis perasmian mesyuarat pertama penggal ketiga Dewan Undangan Negeri Perak ke-13 di Ipoh pada 31 Mac 2015 yang lalu, sewajarnya diberi perhatian yang serius oleh semua pihak, terutama kerajaan negeri.  Titah sulung baginda di dewan keramat itu menjadi bukti keseriusan baginda terhadap situasi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini, amnya, dan di Perak, khususnya.

Oleh hal yang demikian, kerajaan Perak perlu bertindak segera untuk merealisasikan kedua-dua hasrat baginda itu.  Sebagai contoh, ketidakupayaan segelintir masyarakat Tronoh bertutur dalam bahasa kebangsaan (hal ini ditimbulkan oleh Pelita Bahasa beberapa tahun yang lalu) tidak harus berlaku lagi, bukan sahaja di situ, malah di tempat lain di negeri itu juga.  Kegagalan mereka berbahasa kebangsaan menjadi satu daripada penghalang utama usaha mewujudkan perpaduan kaum di negara ini, termasuk di Perak.

Satu daripada kaedah yang dapat dilakukan oleh kerajaan Perak, sebagai permulaan, ialah menubuhkan unit yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul di negeri itu, mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.  Unit tersebut sewajarnya diletakkan di pejabat Menteri Besar, di bawah pengawasan pemimpin utama negeri. Unit yang demikian pernah diwujudkan oleh Jabatan Ketua Menteri Melaka, tetapi tidak bertahan lama.

Namun demikian, hal yang lebih penting untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut ialah komitmen semua pihak, terutama kerajaan negeri.  Kejayaan menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul pasti akan menyebabkan kewujudan perpaduan kaum yang lebih utuh. Apa-apa juga gerakan yang dilaksanakan dengan komitmen yang tinggi dan diterajui oleh pucuk pimpinan lazimnya berjaya.

Maka jika warga Perak mampu bertutur dalam bahasa kebangsaan yang baik dan betul serta mengukuhkan perpaduan antara kaum, seperti yang dihasratkan oleh baginda, itulah persembahan yang begitu bernilai kepada Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersempena dengan pertabalan baginda sebagai Sultan Perak ke-35 pada 6 Mei.  Daulat Tuanku!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *