“Demokrasi Bahasa” di Bandar Bersejarah

Dua peristiwa menarik berlaku di Perak – di Kuala Kangsar dan di Teluk Intan – pada hujung minggu terakhir bulan Februari yang lalu.

Di Kuala Kangsar, perkataan cup, plate, bowl, dan shield digunakan secara leluasa dalam kejohanan ragbi tujuh sebelah MCKK.  Sejumlah 24 buah sekolah, termasuk dari New Zealand, Hong Kong dan Thailand, mengambil bahagian dalam kejohanan tiga hari yang bertaraf antarabangsa itu.  Semua sekolah tersebut dapat dikatakan mempunyai pasukan ragbi yang dihormati dan disegani oleh lawan masing-masing.

Selepas perlawanan peringkat kumpulan, pasukan yang berada pada pemeringkatan ke-17 hingga ke-24 beradu tenaga pada peringkat shield. Pasukan yang berada pada pemeringkatan kesembilan hingga ke-16 pula layak ke peringkat bowl, sementara lapan pasukan teratas bertanding dalam pusingan suku akhir peringkat cup/plate. Yang menang dalam pusingan itu meneruskan perjuangan pada peringkat cup; yang kalah dalam plate.

Dalam Kamus Dewan, edisi keempat, cup dan bowl diberi padanan yang sama – piala. Shield ialah perisai, manakala tiada padanan untuk plate, selain pinggan dan beberapa perkataan lain yang tiada kaitan dengan sukan. Dengan hal yang demikian, perkataan cup, plate, bowl, dan shield digunakan sepanjang kejohanan itu yang mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui Tourism Malaysia, dan Kementerian Belia dan Sukan.

Yang diharapkan ialah agar perkataan piala, cerana (plate), guri (bowl), dan perisai digunakan dalam kejohanan tahun depan.  Penggunaannya mampu menambahkan seri kepada bahasa kebangsaan, sekali gus memperlihatkan kekayaan khazanahnya, bukan sahaja kepada rakyat tempatan, malah warga asing juga.  Hal ini turut mampu melenyapkan rasa ragu-ragu dalam kalangan warga watan ini terhadap keupayaan bahasa itu memperkatakan apa-apa juga ranah.

Di Teluk Intan, rumah terbuka sambutan Tahun Baharu Cina peringkat kebangsaan diadakan dengan meriah sekali, seperti lazimnya. Dalam sambutan itu, menara condong Teluk Intan diisytiharkan sebagai warisan kebangsaan oleh teraju kedua negara.  Pengisytiharan itu menguatkan kedudukan bandar tersebut sebagai satu daripada tempat yang mesti dilawati oleh pelancong tempatan dan luar negara.

Sambutan tersebut menggunakan tiga bahasa – bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Cina.  Tentu sekali bahasa Melayu digunakan kerana bahasa itu bahasa kebangsaan negara.  Bahasa Inggeris digunakan pastinya untuk membolehkan pelancong asing, terutamanya, mengikuti dan memahami perjalanan majlis. Bahasa Cina pula digunakan kerana majlis itu dianjurkan oleh etnik tersebut; tidak mustahil jika ada antara hadirin yang tidak memahami bahasa kebangsaan – bukanlah sesuatu yang mengejutkan, sebenarnya.

Begitulah peristiwa “demokrasi bahasa” pada hujung minggu tersebut.

*****

Daripada-Nya kita datang, kepada-Nya kita pulang.  Sidang editor dan warga kerja Pelita Bahasa merakamkan ucapan terima kasih kepada seorang pujangga Melayu tersohor yang telah memberikan sumbangan yang begitu berharga kepada agama dan bangsa. Dr. Tenas Effendy dijemput oleh Penciptanya pada 28 Februari 2015 yang lalu di Pekanbaru, Riau, Indonesia.  Pemergiannya akan dirasai, tetapi perjuangannya akan tetap diteruskan oleh mereka yang tinggal.  Marilah kita berdoa agar rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

Armin Azhari Saleh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *