Di Mana Bumi Dipijak

      No Comments on Di Mana Bumi Dipijak

Kata Boris Johnson dalam rancangan radio bulanannya, semua warga Britain harus mampu bertutur dalam bahasa Inggeris.  Tambahnya lagi, “Semua orang di negara ini, terutama penjawat awam, perlu berbahasa Inggeris.  Semua orang di London, mereka yang bekerja di negara ini, harus mampu bercakap dalam bahasa Inggeris.”

Bagi Datuk Bandar London itu, di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.  Kata Johnson lagi, bahasa Inggeris dituturkan di negara itu sejak 1000 tahun yang lalu.  Beliau turut merujuk sesetengah bahagian di London yang masih kedapatan warga yang tidak mampu berbahasa Inggeris. Sebagai contoh, di Tower Hamlets, beberapa generasi golongan pendatang gagal untuk mempelajari bahasa Inggeris kerana mereka tidak mempunyai alasan untuk berbuat begitu.  Hal ini dikatakan demikian kerana kewujudan media dalam bahasa ibunda mereka mampu memberikan apa-apa maklumat yang dikehendaki.

Sehubungan dengan itu, Johnson menyarankan agar pihak berkuasa tempatan menghentikan amalan menterjemahkan maklumat dalam bahasa asing. Beliau melihat pendekatan tersebut, yang telah lama diamalkan, sebagai “malapetaka”. Katanya, “Kita sepatutnya mengajarkan bahasa Inggeris dan mereka sewajarnya mempelajari bahasa tersebut. Bahasa Inggeris bukanlah bahasa yang susah.”

Walau bagaimanapun, Johnson hanya berdiam diri apabila pemimpin Ukip, Nick Farange, yang membangkitkan isu tersebut, mencadangkan supaya kakitangan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain, yang tidak mampu berbahasa Inggeris dengan baiknya, dipecat. Kira-kira seorang dalam 10 orang daripada 1.3 juta orang kakitangan perkhidmatan tersebut dilahirkan di luar Britain.

Beberapa tahun yang lalu, melalui ruangan ini, Pelita Bahasa mengetengahkan isu ketidakupayaan segelintir rakyat Malaysia, yang bahasa ibundanya bukan bahasa Melayu, bertutur dalam bahasa tersebut. Beberapa buah tempat dijadikan sebagai contoh, seperti Tronoh dan Pulau Ketam. Tidak mustahil jika hal ini turut berlaku di tempat lain.

Pada tahun lepas, Prof. Dato’ Dr. Teo Kok Seong menyatakan bahawa kajian menunjukkan sejumlah 14 ribu orang pelatih Program Latihan Khidmat Negara, yang bahasa ibunda mereka bukan bahasa Melayu, gagal menguasai bahasa tersebut. Setelah melalui sistem pendidikan negara selama 11 tahun, ketidakupayaan mereka untuk berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan menimbulkan tanda tanya.

Kebanjiran warga asing di negara ini  bukan hanya di Kuala Lumpur, malah di bandar lain juga.  Di ibu negara, warga asing tersebut telah mula membina koloni masing-masing. Di tempat yang demikian, bahasa mereka amat dominan, menghiasi papan tanda kedai, yang tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan. Bahasa kebangsaan negara ini langsung diketepikan.

Yang hendak ditimbulkan juga ialah perjuangan pemimpin membela bahasa kebangsaan.  Jika Johnson dan Farange, pemimpin dua buah parti yang berbeza ideologi politik tetapi sependapat dalam isu bahasa, mampu membela bahasa negara mereka dengan lantangnya, dapatkah pemimpin negara ini bertindak dengan cara yang demikian juga?

Armin Azhari Saleh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *