Peranan Guru dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga

      No Comments on Peranan Guru dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga

RUZAINI AWANG

Sistem peperiksaan di negara kita kini berkembang dan melonjak ke tahap positif  yang dikenali sebagai sistem pentaksiran. Warga pendidik, khususnya guru, dan sekolah merupakan ejen pendidikan bercorak milenium pada abad ini bagi merealisasikan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu usaha berterusan ke arah  memperkembang lagi potensi individu (murid) secara menyeluruh dan  bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, emosi, jasmani, dan rohani melalui sistem pentaksiran pusat. Sistem baharu tersebut disebut sebagai pentaksiran tingkatan tiga (PT3).

Sebenarnya PT3 merupakan inovasi pendidikan yang melonjakkan kemajuan negara. Tanpa inovasi dalam pendidikan, kemajuan negara tidak akan melonjak ke tahap yang lebih tinggi atau gemilang serta setanding dengan negara maju. Pada peringkat awal, tidak dapat dinafikan bahawa wujud kelemahan dalam pelbagai aspek. Namun begitu, jika kita mengambil kira potensi PT3 dalam pendidikan negara, khususnya bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, murid mampu menjadi individu yang mahir dalam semua aspek kemahiran bahasa, sistem bahasa, dan komponen sastera dengan penekanan terhadap pengisian kurikulum Bahasa Melayu.

Tidak dapat disangkal bahawa terdapat kebimbangan terhadap persediaan semua pihak, seperti guru, murid dan ibu bapa, untuk menghadapi pelaksanaan PT3. Sebenarnya bagi pengetahuan semua pihak, program penataran dan taklimat telah dan sedang dijalankan oleh Lembaga Peperiksaan dengan bantuan Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, bahagian di Kementerian Pendidikan, pengetua, guru besar, School Improvement Partner Plus (SIP+), School Improvement Specialist Coach Plus (SISC+), guru sekolah rendah dan sekolah menengah, serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru di seluruh negara.

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa, Bil. 1 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *