Cabaran Bahasa Negara Tahun Ini

      No Comments on Cabaran Bahasa Negara Tahun Ini

Ketika mengunjungi Pameran Penjenamaan Antarabangsa Malaysia ke-11 di Pusat Dagangan Dunia Putera, Kuala Lumpur, pada bulan lalu, berlakulah kegagalan komunikasi. Hai ini dikatakan demikian kerana pempamer barangan menggunakan bahasa Mandarin oleh sebab mereka berasal dari China. Sebahagian besar daripada mereka tidak dapat bertutur dalam bahasa Inggeris yang mudah yang mampu difahami oleh orang lain, apatah lagi bahasa Melayu walaupun negara itu mempunyai beberapa buah pusat yang mengajarkan bahasa rakyat Malaysia itu.  Maka terpaksalah dicari orang yang mampu bertutur dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu untuk membolehkan berlakunya komunikasi.

Di dewan yang berlainan di tempat yang sama, berlangsung Persidangan Buku Antarabangsa.  Pembentang kertas kerja bukan sahaja berasal dari negara ini dan kepulauan Melayu, malah dari India juga, menepati konsep antarabangsanya.  Selain bahasa Melayu, beberapa kertas kerja dibentangkan dalam bahasa Inggeris, bukan sahaja oleh sarjana luar negara, tetapi juga ilmuwan Malaysia.  Peserta persidangan terdiri daripada mereka yang memahami  kedua-dua bahasa tersebut.  Barangkali oleh sebab persidangan ini mempunyai perkataan antarabangsa, bahasa Inggeris menjadi keutamaan.

Hal yang ingin ditimbulkan di sini ialah betapa peniaga China tetap menggunakan bahasa mereka walau di mana-mana juga mereka berada.  Jika ada sesiapa yang ingin berurusan dengan mereka, maka bahasa Mandarin perlu dikuasai.  Senario ini juga menunjukkan kepentingan bahasa tersebut dalam dunia niaga antarabangsa.  Pada masa yang sama, mereka kelihatannya tidak rugi jika tidak dapat berurus niaga kerana masalah komunikasi.

Walau bagaimanapun, hal yang demikian tidak ditunjukkan oleh ilmuwan negara ini.  Memang kepentingan bahasa Inggeris tidak dapat dinafikan oleh sesiapa, apatah lagi ilmu yang dikandungnya.  Yang menjadi persoalan ialah sebab bahasa Melayu tidak digunakan sepenuhnya dalam persidangan tersebut.  Bahasa Melayu telah terlepas peluang dan tidak memanfaatkan ruang yang dimilikinya untuk membuktikan keupayaannya sebagai bahasa ilmu pada peringkat antarabangsa walaupun persidangan itu diadakan di negara ini.

Maka timbul persoalan:  masih belum bersediakah bahasa Melayu untuk menjadi bahasa antarabangsa? Jika belum, mengapa?  Jika sudah, mengapakah kelihatannya seperti belum bersedia? Jika belum bersedia untuk menjadi bahasa global, jadilah bahasa serantau lebih dahulu.  Kedudukan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada tahun ini perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baik mungkin. Pihak yang berkenaan sewajarnya menggunakan ruang dan peluang ini untuk melaksanakan inisiatif menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa serantau.  Inilah satu daripada cabaran yang menanti bahasa Melayu pada tahun ini.

Oleh hal yang demikian, mengambil sempena tahun baharu Masihi 2015,  marilah kita bersama-sama bertekad dan berganding bahu untuk berusaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama rantau ini, di samping menangani  apa-apa juga cabaran yang akan dihadapi oleh bahasa tersebut pada peringkat tempatan dengan bijaksana. Cabaran yang mendatang pada tahun ini belum diketahui lagi, tetapi dengan berdasarkan beberapa peristiwa pada tahun lalu, seperti usaha untuk mengembalikan dasar pengajaran dan pemelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris serta sekolah aliran Inggeris, yakinlah bahawa cabaran tersebut akan bertambah hebat.

Selamat menyambut tahun baharu Masihi 2015.

Armin Azhari Saleh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *