Virus Bahasa Tanah Air

      No Comments on Virus Bahasa Tanah Air

Pengacara muda itu – barangkali pelajar universiti tersebut – memaklumkan kelewatan ketibaan tetamu kehormat kepada audiens kerana terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.  Audiens – mungkin 95 peratus warga Malaysia; dikenal pasti seorang pelajar dari Syria kerana dia memperkenalkan diri dalam sesi soal jawab – mengambil maklum tentang pengumuman tersebut, yang tidak disampaikan dalam bahasa kebangsaan negara ini. Dalam majlis tersebut, tetamu kehormat berbangsa Inggeris itu, secara jujurnya, menjelaskan keupayaannya berbahasa Melayu pasar.

Lokasi pusat pengajian tinggi ini asalnya ladang kelapa sawit.  Universiti ini cawangan universiti yang memberikan pendidikan tinggi kepada teraju utama kepemimpinan negara sekarang, tidak ketinggalan mantan ketua sebuah negeri dan seorang puteranya.  Tidak luas kawasannya, tetapi ketika mengelilinginya, dapat dirasakan suasana seperti negara asal universiti itu – ketika musim panas –  oleh sebab tidak kelihatan bahasa kebangsaan negara ini di sana sini, kecuali panduan keselamatan di pintu utama – itu pun tulisannya lebih kecil daripada tulisan bahasa asing itu.

Sebuah universiti tempatan dan sebuah cawangan universiti luar negara. Memang dapat difahami jika cawangan universiti  luar negara itu tidak mampu menggunakan bahasa kebangsaan negara ini kerana menurut seorang rakyat negara tersebut, mereka menganggap bahasa dan bangsa mereka amat ulung. Ada penduduk negara ini yang masih menyanjung tinggi warga dan bahasa negara tersebut, sehingga dapat dikatakan mencecah tahap “melampau”. Yang ingin dilihat sekarang ialah situasi di universiti tersebut dapat dikawal tidak merebak ke cawangan universiti asing yang lain yang dikatakan akan dibuka di sini sebagai akibat peliberalan pendidikan dan keinginan menjadi hab pendidikan serantau.

Yang tidak dapat difahami ialah sebab universiti tempatan itu pun tidak mampu (atau tidak mahu) menggunakan bahasa kebangsaan negaranya, walaupun hanya untuk pengumuman. Barangkali tidak boleh dipersalahkan universiti itu.  Mungkin yang patut dipersalahkan ialah pengacara muda itu, yang kelihatannya seperti anak watan, atau penganjur majlis. Yang diharapkan ialah kes ini kes terpencil dan hanya berlaku pada waktu itu di tempat itu, tidak pada masa lain di tempat itu dan di tempat lain –  tidak akan mewabak.

Pendidikan abad ke-21 tanpa menggunakan bahasa kebangsaan tanah air? Keadaan itu hampir-hampir menjadi kenyataan apabila dasar pengajaran dan pemelajaran dua mata pelajaran dalam bahasa asing dilaksanakan pada awal dekad yang lalu. Memang tiada sesiapa di negara ini yang menafikan kepentingan bahasa asing dalam pencarian ilmu, bahkan Islam turut menganjurkan umatnya supaya menuntut ilmu sampai ke negara China; sudah pasti dengan menggunakan bahasa tempatan negara itu. Teruskanlah menggali ilmu dalam apa-apa juga, tetapi janganlah “dipinggirkan” bahasa kebangsaan ilmu pertiwi.

Namun demikian, mengapakah bahasa asing kelihatan lebih diutamakan daripada bahasa kebangsaan di negara ini? Hal ini telah lama dibangkitkan oleh berbagai-bagai pihak dan dijawab pula oleh berbagai-bagai pihak lain. “Penyakit” ini harus dikawal agar tidak menjadi “wabak” yang lebih parah kerana tidak kelihatan penawarnya oleh sebab virusnya yang semakin mengganas.

Armin Azhari Saleh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *