“1Bahasa, 1Bangsa, 1Negara” Mendukung Gagasan 1Malaysia”

Nor Azleenda Abdul Hadi

Pada setiap tahun, Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) disambut sebagai program nasional yang tersenarai dalam takwim aktiviti negara. Program ini diadakan secara menyeluruh pada semua peringkat baik pada peringkat sekolah, institut pengajian tinggi (IPT), jabatan kerajaan, mahupun masyarakat umum. Program dalam BBK ini bukan sahaja bersifat kebahasaan dan kesusasteraan semata-mata, tetapi juga menjadikan bahasa dan sastera sebagai alat pemersatuan rakyat Malaysia dalam mendukung gagasan 1Malaysia.

Gagasan 1Malaysia juga terpancar dalam tema sambutan BBK, iaitu “1Bahasa, 1Bangsa, 1Negara”. Tema BBK ini jelas menggambarkan sokongan terhadap gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak.

Oleh hal yang demikian, setiap aktiviti sebagai pengisian program BBK selain menjurus kepada usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pemersatuan bangsa, bahasa ilmu, bahasa yang berupaya merentas pelbagai bidang dan lapangan kehidupan, turut memberikan penekanan kepada penerimaan rakyat terhadap bahasa kebangsaan. Bahasa kebangsaan merupakan milik kita bersama sebagai sebuah bangsa. Begitulah besarnya agenda yang dibawa oleh BBK saban tahun.

Namun begitu, sebilangan besar anggota masyarakat mungkin berasa tidak terlibat dengan program negara ini. BBK dianggap sebagai kegiatan DBP semata-mata. Dari satu segi, anggapan itu ada kebenarannya kerana DBP telah diberi mandat untuk melaksanakan program tersebut secara terancang dan memberikan impak kepada perkembangan dan kecemerlangan bahasa Melayu. Namun begitu, bahasa kebangsaan bukan milik pihak atau golongan tertentu, tetapi milik bersama sebuah rakyat negara ini. Setiap anggota masyarakat mempunyai peranan masing-masing.

Oleh sebab itu, program BBK perlu mendapat sokongan segenap lapisan masyarakat, bukan sahaja murid sekolah dan pelajar di IPT, tetapi juga agensi kerajaan, pihak swasta, dan pertubuhan bukan kerajaan. Masyarakat mesti memahami dan menghayati matlamat BBK, iaitu untuk memantapkan, memperkukuh, dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia melalui penggunaan bahasa kebangsaan. Marilah kita bersama-sama memeriahkan sambutan BBK dan memartabatkan bahasa kebangsaan.

___

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa, Oktober 2012.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *