Biarkan Mergastua Terus Berbicara

      No Comments on Biarkan Mergastua Terus Berbicara

Mohd. Hashim Osman

Ke mana perginya kawan-kawan kita yang lain, Montel?” sayu sekali suara anak itu. Matanya meliar memerhati sekeliling. Dia terasa sesuatu yang semakin sirna daripada kehidupan rimba ini. Hanya sesekali bunyi lolongan memecah sepi. Tetapi dia yakin, itu bukan suara Manja. Bukan juga suara Kasih. Bukan juga suara Cinta. Bukan. Barang kali bunyi ungka mencari teman-temannya berkeliaran entah ke mana.

Matahari yang hampir seluruhnya ditabiri kabus kian menuruni langit maghrib. Hujan lebat tengah hari tadi meluapkan gugusan kabus memanjat puncak Titiwangsa. Cantik. Sejenak dia menoleh ke sisi. Montel asyik meragut buah kecupu yang dipetiknya semasa menuju ke tebing tadi. Sebaik sampai ke tebing, buah kecupu yang ranum itu dilonggoknya di atas sebongkah batu hampar yang melebar permukaannya. Dengan dua tiga kali isyarat panggilan, kelihatan Montel dan empat lima ekor kaum kerabatnya muncul menerpa longgokan kecupu yang berkulit keperang-perangan. Kemudian mereka mengerkah kulit kecupu sebelum menyunyut isi putih yang masam-masam manis itu.

___

Cerpen ini dipetik daripada Pelita Bahasa, Oktober 2012.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *