Serkap Jarang

      No Comments on Serkap Jarang

Mohd.  Efandi Md. Yusof

Memang aku suka merayau, tetapi aku tidak rela diberi gelaran kutu rayau. Hinakah aku? Sehingga aku diberi gelaran seumpama itu. Aku tahu, aku tidak sepintar Awang anak Dolah, yang kini telah melanjutkan pelajaran ke universiti dalam bidang psikologi, aku cuma seorang penduduk kampung yang sering dihina dan menjadi bualan masyarakat, tidak kira di mana-mana mereka berjumpa, di warung, di surau, atau di tepi jalan, nama aku sering disebut-sebut. Sampai bila mereka hendak mengata aku dan sampai bila mereka hendak menghina aku? Suatu hari nanti mulut mereka akan terjahit sendiri dan suara-suara hina itu tidak akan bersipongang lagi. Aku tahu, aku memang hina di mata mereka dan aku tidak layak menyimpan kunci surau kerana kebodohan aku dan aku dianggap sampah masyarakat di kampung ini. Aku akan pastikan diri ini tidak lagi dijadikan bahan ketawa dan aku akan memastikan diri ini tidak lagi dijadikan bahan ejekan. Memang hidup aku terumbang-ambing, seperti layang-layang yang putus talinya, melayang-layang mencari tempat untuk rebah. Aku akan pastikan yang aku bukan, seperti layang-layang dan aku akan pastikan diri ini bukan, seperti lalang yang ditiup angin ke sana ke mari tanpa keteguhan.

Setiap hari, tepat pukul 12 tengah malam, aku akan merayau dari lorong ke lorong untuk mencari dan memeriksa kalau-kalau ada perkara yang tidak senonoh berlaku di kampung aku. Memang orang kampung tidak menyukai aku dan benci jika melihat kelibat aku muncul di depan mata mereka, tetapi aku ada misi tersendiri. Aku akan buktikan kepada orang kampung yang aku tidak sehina yang mereka sangkakan. Berbekalkan lampu suluh berwarna merah, motor Honda peninggalan arwah ayah, aku membelah kesunyian malam, rumah demi rumah aku telusur. Tiba di rumah Alang Bongkok, bilik di belakang rumahnya memancarkan cahaya, aku perlahan-lahan berjalan agar dengus tapak kaki ini tidak kedengaran oleh Alang Bongkok. Tiba di belakang rumahnya, aku ternampak bayang-bayang sasa terburu-buru melarikan diri, seperti sudah ternampak kelibat aku datang. Tiba-tiba pintu belakang rumah Alang Bongkok dibuka. Aku dengan pantas berlari dan menyorong motor buruk ini ke tengah jalan dan aku terus pulang ke rumah. Jika Alang Bongkok ternampak, teruk aku dikerjakan. Dia salah seorang penduduk kampung yang tidak menyukai kewujudan aku di kampung ini.

___

Cerpen ini dipetik daripada Pelita Bahasa September 2012.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *