Bahasa Membina Jati Diri Bangsa

      No Comments on Bahasa Membina Jati Diri Bangsa

Rejab FI

Cincin suasa indah bercahaya,

Emas segara pengukir mengadun;

Jati diri bangsa membentuk budaya,

Mercu negara bangsa bertamadun.

Perahu tambang memuat angsa,

Angsa dimuat bersama madu;

Bahasa lambang ketulenan bangsa,

Membina semangat rakyat berpadu.

Nenas disayat ke Seberang Nyonya,

Buah dukung jajaan ke tanjung;

Setiap rakyat perlu mematuhinya,

Bahasa didukung Perlembagaan dijunjung.

Jahit baju kebaya sedondon,

Salin hikayat pahlawan perkasa;

Negara maju negara bertamadun,

Pemimpin dan rakyat memartabatkan bahasa.

Buah bidara dari Sandakan,

Bawa ke Sulawesi tunai hasratnya;

Bahasa negara bahasa pendidikan,

Semua institusi menggunakannya.

Belayar di segara matlamat destinasi,

Sepenuh hayat mengemudikannya;

Bahasa negara bahasa komunikasi,

Pemimpin rakyat mengamalkannya.

Bendera berkibaran di pinggir lautan,

Pahlawan perkasa menyekat mangsa;

Bahasa gambaran ketulenan watan,

Terpinggir bahasa tergugatlah bangsa.

___

Puisi ini dipetik daripada Pelita Bahasa September 2012.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *