Pelan Tindakan Strategik DBP

      No Comments on Pelan Tindakan Strategik DBP

Nor Azleenda Abdul Hadi

Perancangan dalam usaha memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu bukan lagi menjadi angan-angan atau sekadar dijadikan perbincangan ilmiah yang tidak berkesudahan. Perancangan tersebut telah dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) secara bersungguh-sungguh bagi memenuhi salah satu dasar negara, iaitu Dasar Bahasa Kebangsaan.

Kesungguhan tersebut terbukti apabila DBP melancarkan Pelan Tindakan Strategik DBP 2011-2015: Memartabatkan Bahasa dan Persuratan Melayu baru-baru ini. Pelan tersebut merupakan panduan kepada DBP untuk bertindak sebagai badan yang diberi mandat oleh kerajaan untuk melaksanakan dasar yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan serta badan pemegang amanah atau penjaga perbendaharaan ilmu dan persuratan Melayu di negara ini.

Sebanyak lapan cabaran utama dikenal pasti oleh pihak DBP dalam usaha meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dengan lebih cemerlang. Cabaran tersebut ialah meningkatkan imej DBP sebagai institusi bahasa dan persuratan Melayu yang berwibawa, menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, meningkatkan khazanah persuratan ilmu dalam bahasa Melayu, meluaskan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor swasta, membina sikap bangga bahasa Melayu dalam kalangan rakyat, persepsi kurang positif sebilangan golongan rakyat terhadap bahasa Melayu, mendapatkan kuasa penegasan pelaksanaan dan penguatkuasaan bahasa; dan menarik minat penulis untuk menerbitkan karya dengan DBP.

Cabaran untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu merupakan fokus perbincangan Pelita Bahasa pada kali ini. Usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu merupakan langkah yang dapat menjayakan hasrat untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa utama dunia. Hal ini telah terbukti apabila bahasa Melayu klasik pada sekitar abad ke-13 hingga abad ke-19 Masihi berupaya merentas semua bidang ilmu, agama, undang-undang, perdagangan, ketatanegaraan, susastera mahupun hubungan diplomatik. Pada masa itu, bahasa Melayu pernah menjadi bahasa lingua franca yang digunakan oleh pedagang asing dari seluruh ceruk rantau yang datang ke negara ini. Keadaan inilah yang membuktikan bahasa Melayu pernah menjadi bahasa utama dunia.

Keyakinan dan kesungguhan seluruh rakyat Malaysia untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan seterusnya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan pada peringkat  antarabangsa amatlah diperlukan. Marilah kita bersama-sama menanam sikap bangga akan bahasa Melayu.

Seluruh sidang editor Pelita Bahasa ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Selamat Hari Merdeka kepada para pembaca.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *