Pemerkasaan Bahasa Melayu dalam Pembangunan Teknologi dan Budaya

Siti Khariah Mohd. Zubir

Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu berperanan sebagai pengantar ilmu  pengetahuan atau sebagai alat menyampaikan ilmu, seperti ilmu sains teknologi, ekonomi, kejuruteraan, kedoktoran dan undang-undang di samping sastera dan agama. Bahasa Melayu boleh berfungsi sebagai bahasa ilmu yang lengkap dengan laras bahasa untuk memperkatakan pelbagai hal baharu dalam aneka bidang ilmu moden, misalnya dalam teknologi maklumat. Sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu harus mempunyai perbendaharaan kata, istilah dan bahasa yang sesuai untuk mengungkap konsep dan pemikiran yang kompleks dan abstrak. Kekuatan bahasa Melayu seharusnya standing dengan kekuatan bahasa Inggeris dalam memperkatakan konsep dan pemikiran ilmu moden. Bahasa Melayu perlu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bahasa antarabangsa yang lain, seperti bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Jerman dan bahasa yang sudah lama berperanan sebagai bahasa ilmu moden dengan jayanya.

Bahasa Melayu mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Kekuatan bahasa Melayu akan menjamin kelangsungan peradaban. Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa pemersatu rakyat yang utama. Rancangan Malaysia Kesembilan telah menetapkan agenda nasional yang mesti didukung dengan cita-cita pembangunan tamadun dan modal insan Malaysia, kesinambungan antara keperluan jasmaniah dan rohaniah sebagai harapan asal matlamat kewujudan kebudayaan kebangsaan Malaysia.

___

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa Ogos 2012.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *