Penyelidikan yang Berkesan

      No Comments on Penyelidikan yang Berkesan

Judul: Kaedah Penyelidikan Kuantitatif dalam Pendidikan

Penulis: Mokhtar Ismail

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka (2011)

Pengulas: A. Nina

Penyelidikan bermaksud proses memperoleh pengetahuan baharu untuk menambah pengetahuan yang sedia ada. Proses yang dimaksudkan ialah proses yang bersistem atau disebut sebagai saintifik, bukannya proses yang berbentuk perasaan. Penyelidikan mempunyai matlamat untuk menerangkan, meramal dan mengawal fenomena dengan diandaikan tingkah laku dan peristiwa berlaku secara teratur dan konsisten. Oleh itu, dalam proses menuju matlamat saintifik tersebut, ilmu tentang perkara yang diselidiki perlu diperoleh melalui pelbagai sumber. Antaranya termasuklah pengalaman, kewibawaan, penaakulan, deduksi dan induksi serta kaedah saintifik.

Pembinaan dan pengujian teori pula diperlukan untuk mencapai matlamat saintifik kerana teorilah yang membantu proses membuat laporan yang saintifik. Selain itu, penyelidik mestilah mempunyai ilmu untuk meneroka sesuatu fenomena dalam pelbagai bentuk rumusan ilmu yang berkaitan, seperti teori atau model tentang ilmu tersebut, andaian yang terlibat dan hipotesis yang dapat diwujudkan

Menurut penulis, cabaran yang dihadapi ialah mengajar pelajar bukan sekadar tahu tentang penyelidikan, sebaliknya dapat melaksanakan penyelidikan pendidikan dalam tempoh yang ditetapkan. Yang penting, pelajar tahu akan pelbagai jenis pengetahuan tentang kaedah penyelidikan, seperti ilmu statistik, kaedah penyelidikan, reka bentuk analisis data dan pengetahuan dalam bidang yang ingin dikaji.

Kaedah Penyelidikan Kuantitatif dalam Pendidikan memberikan tumpuan terhadap maklumat tentang tatacara, jenis dan konsep penting penyelidikan pendidikan, statistik inferens, aplikasi komputer yang menggunakan pukal Statistical Packages for Social Sciences (SPSS)  dan reka bentuk analisis. Bab pertama hingga bab keenam memberikan maklumat dan konsep umum tentang penyelidikan pendidikan kuantitatif. Bab ketujuh memberikan tumpuan terhadap konsep statistik. Penulis memperincikan konsep penting yang perlu diketahui dalam penyelidikan. Contohnya, pemboleh ubah, rawak, sebaran normal, sisihan piawai, ralat piawai dan sebaran normal standard. Ketika menerangkan pemboleh ubah yang juga pemegang nilai, penulis memberikan analogi pemegang kunci, seperti kunci kereta, kunci rumah atau kunci pejabat. Dalam hal tersebut, nilai yang dipegang ialah dua atau lebih. Sekiranya satu sahaja, maka tiada perubahan nilai dan pemegang nilai tidak dapat dianggap sebagai pemboleh ubah.

Mokhtar Ismail turut menyenaraikan lapan jenis ancaman yang perlu diketahui oleh penyelidik ketika menjalankan penyelidikan, yang diperturunkan oleh Campbell dan Stanley. Lapan jenis ancaman tersebut dikenal pasti mengganggu penyelidikan eksperimen dan separa eksperimen dari segi kesahan dalaman. Ancaman itu ialah sejarah, kematangan, pengujian, alat ukur, regresi statistik, perbezaan pemilihan, keciciran, dan interaksi pemilihan dan kematangan.

Sekiranya pembaca ingin mencari kelainan antara buku ini dengan buku kaedah penyelidikan yang seumpamanya, pembaca pasti dapat menemukan kelainan tersebut. Hal itu dikatakan demikian kerana buku ini ditulis berdasarkan pengalaman sebenar penulis yang mengajarkan kursus tersebut dan segala pendekatan yang digunakan dalam pengajaran kaedah penyelidikan, termasuklah pengalaman, penaakulan, bacaan, pemerhatian dan penyelidikan, dikongsi untuk memberikan kefahaman kepada pembaca, khususnya penyelidik.

___

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa Disember 2011.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *