Pergerakan Watak Utama

      No Comments on Pergerakan Watak Utama

Samat Buang

Salah satu aspek sastera yang sangat menarik untuk dikaji dalam genre novel  termasuklah aspek watak dan perwatakan. Hal ini dikatakan demikian kerana watak berfungsi untuk menggerakkan dan mengembangkan jalan cerita, tidak kira sama ada watak itu terdiri daripada manusia ataupun binatang yang diberi sifat manusia.

Watak ialah pelaku yang memainkan peranan dalam sesebuah cerita yang disampaikan oleh pengarang. Dengan kata lain, watak dan perwatakan merupakan satu daripada unsur yang harus ditangani dengan bijaksana dan keterampilan pengarangnya. Setiap pengarang haruslah memberikan perhatian yang teliti dalam memilih watak, mencipta watak dan perwatakan, di samping mengolahnya secara berkesan dalam cerita yang ingin disampaikan sesuai dengan peranan dan persoalan yang digarap. Oleh itu, fokus perbincangan dalam makalah ini tertumpu pada pergerakan watak utama, Azfa Hanani dalam novel Azfa Hanani, karya Halis Azhan Mohd. Hanafiah. Novel ini dikaji oleh murid tingkatan empat di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Watak merupakan ciptaan pengarangnya dan watak dalam sesebuah cereka sering dikaitkan dengan manusia. Manusialah sebagai pelaku atau penggerak utama dalam cerita yang disuguhkan oleh pengarang. Namun begitu, ada juga pengarang yang menampilkan binatang, tumbuh-tumbuhan, makhluk asing dan objek tertentu yang dipersonifikasikan atau dimanusiakan. Dalam konteks ini, kita pasti teringat cerita dalam novel Perlumbaan Kedua oleh Marwilis Yusof yang mengemukakan watak binatang, seperti kura-kura, arnab, kancil dan harimau yang dapat berkata-kata, berfikir dan bertindak seperti manusia. Cereka yang mengambil watak binatang, bunga dan tumbuhantumbuhan lazimnya merupakan karya atau cerita simbolik yang mempunyai sindiran dan kritikan terhadap pelbagai ragam kehidupan manusia baik dalam bidang sosial, ekonomi, politik mahupun budaya.

___

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa Ogos 2012

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *