Nazam Ramadan Mubarak

      No Comments on Nazam Ramadan Mubarak

Abdullah Abdul Rahman

Dengan lafaz bismillah segalanya bermula,

semoga nazam teratur rapi insya-Allah.

Inilah bulan dinanti antara yang mulia,

dikhabarkan Ramadan akan bagaikan qasidah.

Banyak pedoman diamalkan pahala berserta,

setiap kata dan laku baginda Rasulullah SAW.

Subuh hingga ke petang menahan lapar dahaga,

tiap pancaindera dilatih bertarbiah.

Muslimin serta muslimah berbagai usia,

terawih berjemaah mengeratkan wasilah.

Di jurang manusia beza miskin dan kaya,

pengertiannya hidup insaf rahimahullah.

Ziarah pada tetangga dan bertegur sapa,

mengikat silaturahim mengerat ukhuwah.

Zikir dan wirid lidah memuja yang Esa,

segala pujian doa santapan firajullah.

Sedekah dihulur kanan yang kiri teralpa,

qiamullail ditegakkan dinihari beruzlah.

Allahu wa’alam bissawab tiadalah upaya,

hidup dan matiku hanya laillahaillallah.

Fitrah dilunaskan lengkap pada subuh hari raya,

perintah addin suci demi satu khalikah.

Nyawa digenggaman-Mu kami sebagai hamba,

insan ciptaan-Mu Allah memohon fadhilah.

Genap Ramadan mulia langsai amal puasa,

hanyalah mampu berserah pada-Mu ya Allah.

___

Puisi  ini dipetik daripada Pelita Bahasa Ogos 2012

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *