Komik Bukan Sekadar Bahan Bacaan Picisan

Nor Azleenda Abdul Hadi

Bahan bantu mengajar merupakan bahan sokongan yang dapat membantu keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran selain pembelajaran secara konvensional, iaitu dengan menggunakan buku teks sepenuhnya. Guru memainkan peranan yang penting dalam memilih dan menentukan bahan bantu mengajar yang berkesan mengikut tahap kecerdasan murid yang diajarnya. Keberkesanan dan ketepatan bahan bantu mengajar mampu mempengaruhi minat murid untuk memberikan tumpuan terhadap sesuatu topik pembelajaran.

Bahan bantu mengajar sering digunakan oleh guru, seperti buku cerita, carta, poster, rakaman suara, video dan slaid. Menurut Mat Nor Hussin, dalam bukunya Alat Bantu Mengajar dalam Pengajaran Bahasa menyatakan peralatan tersebut dapat menyokong penyampaian pembelajaran secara berkesan. Selain itu, penggunaan bahan bantu mengajar juga dapat membantu guru mengajar dengan lebih berjaya selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mengutamakan kepentingan murid. Murid akan mengalami proses pembelajaran yang lebih interaktif kesan daripada penggunaan bahan bantu mengajar yang disediakan oleh guru.

Mutakhir ini, komik telah dijadikan bahan bantu mengajar di negara maju, seperti di Jepun, Korea dan Australia. Yang lebih mengejutkan lagi apabila hasil komik tempatan, iaitu “Kampung Boy” karya Datuk Mohammad Nor Khalid (Lat), telah dipilih sebagai bahan bacaan di sekolah di Australia. Tentu ada sesuatu yang dapat memberikan impak yang besar dalam karya kartunis tersebut sehingga dipilih menjadi bahan bacaan pada peringkat antarabangsa.

Bagaimanakah pula tanggapan warga pendidik dan ibu bapa di Malaysia terhadap penggunaan komik dalam membantu meningkatkan minat murid mendekati ilmu pengetahuan? Sebelum ini, banyak orang yang beranggapan bahawa komik merupakan bahan bacaan picisan atau murahan serta mengandungi pelbagai kesalahan bahasa yang mampu membantutkan hasrat untuk meningkatkan ilmu pengetahuan. Yang perlu disedari ialah komik merupakan persembahan lakaran yang membawa motif tertentu, seperti sindiran, humor, kritikan sosial, dan perbincangan isu semasa secara berterus terang atau secara kiasan yang mengandungi kecerdikan. Pelbagai rakaman kehidupan dapat digambarkan melalui lakaran kartun yang memenuhi lembaran sesuatu komik yang boleh membantu pembangunan sahsiah seseorang. Komik dapat menggalakkan murid berfikir secara kreatif dan kritis melalui lakaran visual dan dialog yang disampaikan.

Walau bagaimanapun, guru perlulah bijak memilih bahan komik yang ingin dibawa ke dalam bilik darjah agarilmu serta unsur didaktiknya ada dalam bahan tersebut dan dapat dimanfaatkan oleh murid. Tibalah masanya guru mempelbagaikan bahan dan kaedah pengajaran agar tidak lagi stereotaip dan membosankan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *