Komik Bahan Bantu Mengajar

Ruzaini Awang

Komik sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran ataupun bahan bantu mengajar bukan lagi perkara baharu yang kita dengar. Namun begitu, komik masih jarang-jarang digunakan sebagai bahan kreatif bagi menjanakan minda dengan idea yang bernas walhal bahan tersebut sebenarnya lebih menarik dan berpotensi untuk menguatkan daya ingatan murid. Istilah komik sebenarnya ditakrifkan berdasarkan perkataan comic itu sendiri. Perkataan comic dalam bahasa Inggeris juga membawa maksud lucu.

Terdapat segelintir masyarakat yang menganggap bahawa bahan komik sebagai bahan bacaan picisan dan kurang bermoral walhal sekiranya kita melihat lebih jauh, negara Jepun sendiri sudah pun melebarkan sayapnya dengan mengambil pelbagai siri komik popularnya, seperti Doraemon, sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran moden. Hal ini terbukti apabila syarikat penerbit Doraemon, Shogakukan, memberikan persetujuan kepada Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) untuk menterjemahkan buku Sains dan Matematik yang menggunakan watak Doraemon. Oleh hal yang demikian, tidak ada alasan sekiranya bahan komik tidak boleh dijadikan sebagai bahan bantu mengajar oleh guru meskipun senario ini kadang-kadang tidak boleh diterima oleh para ibu bapa, yang beranggapan bahawa bahan bacaan seperti ini akan menjejaskan daya perkembangan minda anak-anak mereka.

___

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa, Julai 2012.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *