Penggunaan Komik dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu.

Fadzilah Abd. Rahman

Seiring dengan perkembangan teknologi pendidikan, strategi pembelajaran Bahasa Melayu disaran agar menjadi lebih fleksibel dan terbuka. Antara saranan yang dikemukakan termasuklah pendidik mempelbagaikan teknik dan bahan pengajaran dan pembelajaran (P&P) di bilik darjah. Jelasnya, guru bukan hanya perlu memilih teknik pengajaran yang berkesan, malah perlu memberikan penekanan terhadap aspek kepelbagaian bahan pengajaran yang digunakan. Hal ini dikatakan demikian kerana penggunaan teknik pengajaran dan bahan bantu mengajar yang sesuai boleh menimbulkan rangsangan dan keinginan murid untuk mengetahui dengan lebih mendalam sesuatu aspek pengajaran.

Peranan guru dalam meningkatkan serta mengekalkan motivasi dan minat murid dalam P&P Bahasa Melayu juga sangat penting. Salah satu strategi yang diketahui umum bagi meningkatkan motivasi dan minat murid dalam P&P ialah strategi mengemukakan bahan yang baharu dan luar biasa. Bagi mencapai tujuan ini, kajian Brown menunjukkan bahawa penggunaan komik didapati menepati cita rasa murid, sama ada pada peringkat kanak-kanak ataupun remaja.

Dewasa ini komik merupakan media hiburan yang semakin mendapat perhatian ramai. Pada kebiasaannya, kemunculan komik dalam kalangan masyarakat dewasa dan kanak-kanak dikaitkan dengan tujuan rekreasi berbentuk hiburan. Penggunaan komik dalam pendidikan, khususnya dalam P&P, masih belum begitu diberi perhatian. Ciri utama penghasilan sesuatu komik, iaitu mengetengahkan unsur jenaka, pengembaraan dan fantasi, menjadikan komik sebagai bahan picisan yang hanya berfungsi sebagai bahan hiburan. Hasilnya, komik dalam konteks kaedah P&P dilihat lebih hampir dengan domain afektif berbanding dengan domain kognitif.

__

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa, Julai 2012.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *