Harapan Ibu Bapa dalam “Warkah daripada Ibu…”

Izani Daud

Cerpen “Warkah daripada Ibu…” memaparkan harapan ibu dan bapa untuk melihat anak mereka cemerlang dalam pelajaran dan sahsiah. Cerpen karya Rohani Deraman ini sangat sesuai dijadikan bahan bacaan murid dalam usaha memberikan kesedaran kepada remaja yang banyak terlibat dengan gejala sosial yang semakin meruncing dewasa ini.

Antara persoalan yang terdapat dalam cerpen ini termasuklah konflik jiwa yang dihadapi oleh seorang anak, pengorbanan, kemesraan dalam keluarga, kasih sayang, pendidikan keagamaan dan ketenangan hidup di kampung.

Melalui watak utama, Amira, pembaca akan dapat merasai konflik jiwa yang dihadapi olehnya yang terpaksa menerima keputusan kedua-dua orang tuanya untuk menghantarnya dan adik-adik ke kampong tinggal bersama-sama datuk dan nenek. Konflik jiwa bermula apabila ibunya berkata, “Mira… ibu terpaksa menghantar Mira dan adik-adik tinggal dengan nenek di kampung hujung bulan ini.”

Konflik yang dialami Amira semakin parah apabila ibunya tidak memberikan alasan yang kukuh untuk menghantarnya tinggal di kampung. Hal tersebut menyebabkan Amira merasakan bahawa ibunya telah benci akan dirinya dan adik-adiknya. Persoalan pengorbanan dan harapan jelas dalam cerpen ini apabila ibu dan bapa sanggup berpisah dengan anak semata-mata untuk menjauhkan anak daripada dipengaruhi budaya tidak sihat yang banyak terdapat di bandar. Sebaliknya mereka mengharapkan anak diresapi nilai keagamaan dan ketimuran apabila berada di kampung. Harapan si ibu dapat dilihat melalui surat yang diutus kepada Amira.

___

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa, Julai 2012.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *