Doktor Gigi Kota, Sila Pamerkan Kupon Anda

Norhan Nor

Kota Tinggi dikenali juga sebagai Daerah bersejarah. Di sinilah kesultanan Johor diasaskan. Terdapat banyak makam sejarah di sini, termasuk makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, makam Tauhid, makam Laksamana Bentan dan makam Bendahara Tun Habib Abdul Majid.

Sewaktu meninjau sekitar bandar untuk mencari tempat penginapan, penulis ternampak “Nasha Hotel”. Nama hotel ini salah kerana tidak betul susunannya. Menurut Hukum DM, yang hendak diterangkan ialah hotel, bukannya Nasha. Oleh itu, nama yang lebih tepat ialah “Hotel Nasha”.

Sebuah lagi hotel turut menggunakan hukum DM dengan betul, iaitu “Pilton Hotel”. Seperti juga “Hotel Nasha”, nama yang betul bagi hotel ini ialah “Hotel Pilton”.

Di sebelah Hotel Pilton terdapat sebuah klinik pergigian. Papan tanda nama klinik tersebut bertulis “Doktor Gigi Kota”. Penggunaan kata nama klinik ini memang tepat. Yang lebih menarik, di bawah tulisan ini tertera tulisan dalam bahasa Cina, jawi, bahasa Inggeris dan bahasa Tamil. Sungguhpun menggunakan pelbagai bahasa untuk kemudahan orang ramai yang pelbagai bangsa, tulisan dalam bahasa Melayu ditulis terang dan diletakkan paling atas.

Di bandar ini, sistem kupon digunakan bagi meletakkan kenderaan di tempat yang disediakan. Pemilik yang meletakkan kenderaan diingatkan: “Sila Pamerkan Kupon Anda, Elakkan Dari Didenda”. Semua pemilik kenderaan memahami dan akur dengan peringatan ini. Cuma, penggunaan kata sendi nama “dari” yang digunakan dalam arahan tersebut tidak tepat. Kata sendi nama “dari” digunakan untuk tempat dan masa. “Didenda” tidak menunjukkan tempat atau masa. Oleh hal yang demikian, penggunaan kata sendi nama “daripada” lebih sesuai digunakan dalam frasa ini.

_

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa, Julai 2012.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *