Sosialisasi Bahasa Melayu Untuk Penguasaan Mantap

Teo Kok Seong

Interaksi, misalnya antara murid dengan guru di dalam bilik darjah, dari perspektif sosialisasi  bahasa, didapati mampu membantu penguasaan bahasa murid, yang lebih mantap dari pelbagai segi. Antaranya termasuklah ideologi penghormatan, sosiolinguistik kesantunan dan perkaedahan menyoal. Hal ini dikatakan demikian kerana murid diperkenalkan selain dibiasakan dalam setiap aspek bahasa mengikut norma dan amalan setempat, melalui penggunaan bentuk bahasa yang betul, laras bahasa yang sesuai dan lakuan bahasa yang tepat.

Sosialisasi bahasa merujuk penguasaan pengetahuan linguistik, pragmatik serta segala macam pengetahuan budaya yang lain, melalui pengalaman sosial yang dilalui sendiri oleh murid secara sedar, sewaktu mempelajari sesuatu bahasa itu. Sosialisasi bahasa juga dikenali dengan beberapa istilah lain. Antaranya, kecekapan budaya, kemahiran berkomunikasi, enkulturasi bahasa, inisiasi bahasa dan induksi bahasa.

Walaupun apa-apa juga istilah lainnya, sosialisasi bahasa dalam bidang linguistik mempunyai kaitan dengan pelbagai aspek pengajaran dan pembelajaran bahasa, yang melibatkan bukan sahaja pendedahan, tetapi yang lebih penting lagi ialah penglibatan secara langsung dalam pelbagai peranan, pandangan hidup, nilai dan ideologi, yang perlu dilalui dan dialami sendiri oleh murid semasa diajar dan mempelajari sesuatu bahasa itu, sama ada sebagai bahasa pertama atau kedua, ataupun bahasa tambahan yang lain. Dengan ini, murid melalui dan mengalami sendiri pelbagai peristiwa dan kegiatan bahasa seharian. Antaranya termasuklah menyapa, bergurau dan bercerita.

___

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa, Jun 2012.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *