Rima Akhir

      No Comments on Rima Akhir

Siti Zaleha M. Hashim

Tudung saji hanyut terapung,

Disulam gambar dengan benang;

Hajat hati nak pulang kampung,

Lautan dalam tidak terenang.

Asam jawa pokok di hutan,

Dibawa orang tanam di desa;

Ada nyawa ada harapan,

Tidak kumahu berputus asa.

Pantun yang tinggi mutunya menggabungkan beberapa ciri luaran dan dalaman. Antara ciri luaran termasuklah rima. Keindahan pantun muncul pada rimanya yang boleh didapati pada bahagian hadapan, tengah dan akhir baris pada setiap rangkap pantun.

Kamus Puisi terbitan DBP 2005 mencatatkan rima sebagai “Skema atau susunan bunyi dalam baris-baris puisi. Rima akhir baris adalah susunan bunyi tertentu yang terdapat di akhir tiap-tiap baris dalam serangkap puisi. Rima disebut juga mempunyai persamaan bunyi di hujung baris. Baris susunan rima tersebut ditandakan dengan susunan huruf. Contohnya rima pantun a/b/a/b. Rima syair a/a/a/a. Rima akhir jugalah yang menjadi satu daripada dasar untuk menentukan ‘bentuk terikat’ sesebuah puisi.”

Rima menjadikan pantun amat sedap didengar kerana rima membawa irama dan rentak pada pantun. Rima memberikan keindahan pada bentuk dan bahasa pantun.

___

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa, Jun 2012.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *