Pendahuluan dan Kesimpulan Karangan Bahasa Melayu STPM

Nawi Ismail

Sesetengah murid dapat mengemukakan dan menghuraikan isi karangan dengan memuaskan, namun gagal menulis pendahuluan dan kesimpulan yang meyakinkan. Murid menulis pendahuluan secara meleret-leret, manakala kesimpulan pula ditulis terlalu ringkas. Kelemahan ini ternyata merugikan murid kerana dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), tiga markah diperuntukkan untuk pendahuluan dan tiga markah juga untuk kesimpulan. Pada kebiasaannya, pendahuluan karangan menjadi panjang kerana murid memasukkan perkara yang kurang berkaitan.

Selain menghasilkan pendahuluan yang longgar dan tidak berfokus kepada kehendak soalan, amalan ini akan menyebabkan karangan menjadi panjang. Harus diingat bahawa dalam peperiksaan STPM, karangan murid akan dinilai sehingga 700 patah perkataan sahaja. Ertinya, bahagian yang lebih daripada 700 patah perkataan itu akan dipotong atau dianggap tiada. Sebagai guru Bahasa Melayu (BM), penulis mendapati bahawa terdapat segelintir murid yang kehilangan beberapa markah kerana tidak mematuhi peraturan ini.

Sesetengah murid pula menulis kesimpulan karangan terlalu ringkas; dua atau tiga baris sahaja. Antara alasan murid termasuklah kesuntukan masa, terutama apabila menulis karangan dalam peperiksaan. Sesetengahnya pula memberikan alasan bahawa mereka ketandusan idea untuk menghasilkan kesimpulan yang tepat. Di samping itu, tidak kurang juga murid yang memberikan reaksi seolah-olah perkara itu tidak diberitahu kepada mereka. Walau apa-apa alasan sekali pun, kesimpulan yang pendek tidak memungkinkan murid memperoleh markah yang maksimum.

___

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa, Jun 2012.

2 thoughts on “Pendahuluan dan Kesimpulan Karangan Bahasa Melayu STPM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *