Strategi Pemerolehan dan Pembelajaran Bahasa yang Berkesan

Vijayaletchumy Subramaniam

Menurut Raminah Sabran, bahasa merupakan medium komunikasi yang amat penting.Melalui bahasa, seseorang individu mampu menyampaikan kehendak, perasaan, pendapat, pengalaman buah fikiran dan pengetahuan, di samping mendapatkan maklumat, menambahkan ilmu pengetahuan dan memahami orang lain. Penguasaan sesuatu bahasa amat penting, terutama dalam bidang pendidikan, perniagaan dan komunikasi. Dalam bidang pendidikan, misalnya proses mendidik murid memerlukan bahasa sebagai medium komunikasi yang efektif dan berkesan untuk memastikan maklumat yang ingin disampaikan kepada golongan sasaran diterima dan difahami dengan baik. Proses pemerolehan dan pembelajaran bahasa memerlukan strategi yang ampuh untuk memastikan peningkatan kemahiran dan penguasaan bahasa.

Terdapat banyak teori dan disiplin ilmu yang berhubung kait dengan cara pemerolehan dan pembelajaran bahasa yang berkesan, namun pelaksanaan strategi ini masih terbatas kerana proses pemerolehan dan pembelajaran bahasa merupakan sesuatu yang sukar untuk dibuktikan secara saintifik. Menurut Tay Meng Guat, pemerolehan bahasa pertama dikaitkan dengan perkembangan bahasa kanak-kanak, manakala pemerolehan bahasa kedua bertumpu kepada perkembangan bahasa orang dewasa. Proses pemerolehan bahasa ini berlaku secara semula jadi sejurus bayi dilahirkan, zaman kanak-kanak sehinggalah meningkat dewasa. Tanpa melalui sistem pembelajaran bahasa secara formal, proses pemerolehan bahasa tetap berlaku melalui pengaruh persekitaran, hubungan dan interaksi sosial dalam keluarga dan masyarakat. Sebagai contoh, seorang kanak-kanak yang berusia empat tahun mampu menguasai bahasa ibunda dengan baik walaupun tidak diajar bahasa tersebut secara formal di sekolah.

__

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa, Jun 2012.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *