Guru Bahasa Melayu yang Cemerlang

      No Comments on Guru Bahasa Melayu yang Cemerlang

Oleh SITI KHARIAH MOHD. ZUBIR

Seperti yang telah semua sedia maklum, berdasarkan Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan, bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara kita. Selain itu, bahasa Melayu turut berperanan sebagai bahasa ilmu.

Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu telah menonjolkan kemampuannya sebagai wadah penyampaian ilmu dalam pelbagai bidang. Walau bagaimanapun, secara tiba-tiba fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu seolah-olah dinafikan. Hal tersebut terjadi ekoran pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2003. Sejak itu, pelbagai pihak telah menyuarakan kebimbangan, terutamanya tokoh dan pejuang bahasa Melayu. Mereka khuatir, bukan sahaja fungsi bahasa Melayu akan terjejas, tetapi turut menjejaskan pencapaian murid, terutamanya murid dari luar bandar dalam kedua-dua subjek tersebut.

Dengan mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak dan untuk memartabatkan bahasakebangsaan, bermula tahun 2011 kerajaan telah memutuskan untuk menggantikan dasar PPSMI dengan dasar baharu, iaitu Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin, MBMMBI berfungsi sebagai serampang dua mata kerana selain memartabatkan bahasa kebangsaan, kerajaan turut menekankan aspek penguasaan dan pengukuhan bahasa Inggeris yang menjadi bahasa antarabangsa.

___

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa Mei 2012.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *