Siamang

      1 Comment on Siamang

Oleh MOHD. HASHIM OSMAN

Kelam. Sayup-sayup di sebelah timur dan utara, sabung-menyabung kokok ayam memalu waktu. Jalak Kampung Erong di sebelah timur bergabung mencabar jalak dari Lembah Tiang Bertarah di sebelah utara. Di celahcelah pertarungan fajar itu, mencelah sesekali juara denak hutan melempar suara nyaring.

Segala merdu rimba pagi itu kian sayup. Sayup, sayup. Jauh dan sayu. Meskipun sayup, meskipun jauh, pendirian akalnya mula mengesahkan harapan yang masih bernyawa di sebelah utara dan timur itu, di sebelah arah datangnya bunyi merdu pagi itu.

– Kita cubalah bina kehidupan di sana. Tak ada apa-apa yang boleh diharapkan di sini.

Segalanya telah musnah.

Matanya terkejip-kejip menoleh sejenak ke arah barat, di sebelah sisi kanannya. Sunyi. Sepi. Usahkan pekikan ayam, bunyi unggas pun sudah lama membisu. Tiada lagi keluarga murai ceria menyambut pagi. Benar kata bininya itu. Perbincangan sepasang kehidupan itu melalut sampai lewat malam ketika anak bongsunya yang mencecah dua tahun melingkar lena di ribaan bininya. Koloninya makin mengecil. Cuma tinggal berenam, termasuk dia laki bini. Habitat hayatnya menyempit, yang situasi tidak memungkinkan koloninya berkembang.

Awal pagi kelmarin, koloninya masih punya tujuh. Namun begitu, takdir merobahnya lewat pagi kelmarin. Ketika mentari menongkat siang, anak sulungnya menemui noktah remajanya dengan penuh ngeri. Ngeri disiat oleh kekejaman yang tidak pernah simpati. Sedang asyik memilih pucuk kayu yang masih berbaki di celah-celah timbunan sisa tebangan, terdengar raung cemas bininya dari arah habitat akhirnya. Sesuatu sedang berlaku atau telah berlaku.

Agak lambat dia sampai di kediamannya. Pergerakan di permukaan bumi yang tinggi rendah menjadi terbatas. Dahan gayutan untuknya mengayunkan tubuh lebih pantas sudah tiada. Selain kelompok 50 pohon getah itu, hanya tinggal dua kelompok pepohon getah yang masih menegak di tengah-tengah ladang yang sedang dibersihkan itu.

___

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa Februari 2012

One thought on “Siamang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *