Kerancuan Bahasa Siapakah yang Bersalah?

      No Comments on Kerancuan Bahasa Siapakah yang Bersalah?

Oleh NAWI ISMAIL

Ketika penulis dan seorang rakan, yang juga guru Bahasa Melayu, menghadiri mesyuarat (bukan berkaitan dengan bahasa), penulis diajukan soalan oleh seseorang tentang penggunaan yang betul, sama ada “mempastikan” ataupun “memastikan”. Setelah

penulis menyatakan jawapannya “memastikan” berserta dengan alasannya, individu yang berkenaan bertanyakan rakan penulis pula tentang perkara yang sama dengan harapan kami berdua memberikan jawapan yang berlainan. Apabila mendapat jawapan yang sama, individu tersebut menyatakan bahawa lazimnya pendapat tentang bahasa tidak sama antara individu dengan individu yang lain kerana di negara ini, terdapat pelbagai “mazhab” bahasa hingga mengelirukan pengguna bahasa Melayu.

Sebenarnya, tanggapan yang demikian sudah banyak kali kedengaran. Selain “orang biasa”, ungkapan seumpama itu turut diluahkan oleh mereka yang berpelajaran tinggi. Bagi penulis, tanggapan itu timbul kerana mereka yang berkenaan hanya mengikut kata orang lain tanpa memikirkan kewajarannya.

Dalam satu seminar, yang kebetulan dihadiri penulis juga, seorang pembentang kertas kerja, yang barangkali menyedari kertas kerjanya mengandungi pelbagai kesalahan bahasa, berkata, “Kertas kerja I ni dari segi bahasa I tak kisah sangat because di negara kita banyak pendapat tentang bahasa. Ahli bahasa yang ni kata boleh, yang ni pula kata tak boleh. So, bagi I kalau you all faham, okey.” Dari satu segi, pembentang yang berkenaan bijak putar belit. Agar kesalahan bahasanya tidak diperkatakan oleh peserta, individu tersebut terlebih dahulu memberikan alasan meskipun alasan tersebut tidak layak diberikan sebarang markah sekiranya dalam situasi peperiksaan. Dengan berbuat demikian juga, peserta yang kurang mengambil berat tentang bahasa Melayu, apatah lagi yang ingin mencari kelemahan bahasa Melayu, akan menyokong alasan seumpama itu. Bagi mereka, kesalahan bahasa yang terdapat dalam kertas kerja pihak yang berkenaan itu bukan kerana kecetekan ilmu bahasa penulisnya, tetapi kononnya lantaran ketidakselarasan pendapat dalam kalangan ahli bahasa.

Tidak dinafikan bahawa dalam negara demokrasi, setiap orang bebas memberikan pandangan tentang sesuatu perkara, tidak terkecuali tentang hal kebahasaan. Namun begitu, orang yang berilmu seharusnya berfikir terlebih dahulu sebelum mengeluarkan pandangan agar kebijaksanaannya dihormati. Dalam hal tersebut, terdapat segelintir anggota masyarakat yang terlalu mudah untuk menganugerahiseseorang gelaran ahli bahasa atau tokoh bahasa asalkan individu yang berkenaan kelihatan rancak bercakap tentang bahasa. Oleh itu, apabila ada sahaja dua orang guru bahasa yang memberikan pandangan yang mungkin berbeza tentang sesuatu aspek bahasa, misalnya dari segi binaan ayat, penggunaan imbuhan, penggunaan kata sendi nama, bahkan ejaan, maka timbullah anggapan bahawa perbezaan pendapat tersebut berlaku kerana guru yang berkenaan berlainan “mazhab”.

___

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa Februari 2012

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *