Mengharmonikan Tatabahasa Ayat dan Tatabahasa Wacana

Oleh ZAMRI SALLEH

Pengajaran bahasa Melayu di sekolah, khususnya di sekolah menengah, bertujuan menyediakan murid untuk menguasai kecekapan berbahasa dan berkomunikasi dengan menggunakan peraturan tatabahasa secara betul dan tepat. Dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah, aspek tatabahasa merupakan sebahagian daripada komponen sistem bahasa dalam pengajaran dan pemelajaran bahasa

Melayu selain sistem ejaan, sebutan dan intonasi, kosa kata dan peribahasa. Dengan menguasai kecekapan berbahasa dan berkomunikasi berdasarkan peraturan tatabahasa, murid mampu mengungkapkan bidang ilmu daripada pelbagai disiplin atau mata pelajaran di samping mengembangkan kemahiran berfikir.

Untuk mengajarkan peraturan tatabahasa, guru sudah pasti menjadikan Tatabahasa Dewan sebagai sumber rujukan utama. Hal itu memang tidak dapat dinafikan kerana buku tersebut dianggap sebagai tatabahasa pegangan dalam pengajaran dan pemelajaran bahasa di negara ini. Dalam beberapa edisi sebelumnya, Tatabahasa

Dewan hanya memberikan fokus terhadap aspek tatabahasa pada peringkat ayat semata-mata, iaitu morfologi dan sintaksis. Oleh sebab tumpuan hanya diberikan setakat peringkat ayat, tidak hairanlah jika guru hanya mengajarkan aspek morfologi, seperti golongan kata, dan aspek sintaksis, seperti frasa, klausa dan jenis ayat, semata-mata.

Pengajaran aspek tatabahasa juga lebih memberikan fokus terhadap penggunaan bahasa yang betul berdasarkan rumus tertentu. Oleh itu, banyak aktiviti dalam pengajaran dan pemelajaran tatabahasa hanya berkisar tentang mengenal bahasa, dan melengkapkan ayat dengan kata dan frasa yang betul. Lazimnya, aktiviti pengajaran dan pemelajaran tatabahasa dilakukan dalam ayat yang terpisah. Pengajaran dan pemelajaran tatabahasa pada peringkat ayat masih berlaku di bilik darjah pada masa sekarang.

___

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa Februari 2012

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *