Gaya Bahasa Menjelitakan Sajak Komsas

      No Comments on Gaya Bahasa Menjelitakan Sajak Komsas

Oleh ABD. RAZAK REZEKI OTHMAN

Gaya bahasa ialah unsur terpenting yang bertindak mengindahkan sajak. Gaya bahasa mampu mempamerkan raut jelita atau polosnya sesuatu sajak. Menelaah sajak menuntut seseorang itu berfikir. Gaya bahasa berupaya mempesona pembaca sambil lewa hingga menjadi pengamat dan penikmat sajak. Sajak tanpa gaya bahasa akan terasa kering dan ketiadaan seri. Tuntasnya, penggunaan gaya bahasa dalam sajak akan meninggalkan kesan estetika untuk dihargai seninya oleh pembaca.

Murid sekolah di Malaysia rata-rata mula diperkenalkan dengan jenis gaya bahasa dalam sajak melalui pemelajaran Komsas seawal tingkatan satu. Namun begitu, mereka jarang-jarang diberitahu oleh guru tentang rasional penggunaan sesuatu diksi dalam sajak apalagi kesan estetika penggunaan sesuatu gaya bahasa. Penggunaan pelbagai jenis gaya bahasa dalam sajak, seperti metafora, personifikasi, paradoks dan hiperbola, diajarkan oleh guru dari segi definisi dan contoh yang dikutip daripada sajak. Walau bagaimanapun, fungsi estetika atau kesan penggunaan gaya bahasa itu jarang-jarang disentuh oleh guru kerana dikatakan arasnya terlalu tinggi, bahkan dimomok melebihi tuntutan sukatan pelajaran.

Kegagalan guru menerangkan fungsi estetika atau kesan penggunaan sesuatu gaya bahasa dapat menyebabkan minat pelajar untuk mempelajari Komsas hilang. Guru pula ingin memastikan murid lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dengan baiknya demi memastikan peratus kecemerlangan tidak merosot. Akhirnya, jadilah suasana pemelajaran Komsas di kelas “keras dan kering” serta murid mempelajarinya kerana terpaksa untuk lulus periksa semata-mata. Hasrat untuk menghadirkan rasa indah di samping mesej dan pengajaran sempat dikirim lewat sajak itu akan lesap di tengah jalan. Yang lebih malang lagi ialah murid tidak mampu menzahirkan apresiasi terhadap hasil seni itu, bahkan membenci puisi.

Langkah awal untuk melahirkan kekaguman dan apresiasi murid terhadap puisi adalah dengan menyatakan kekuatan diksi. Semasa bersekolah dahulu, guru sastera penulis mahu mengupas sajak Sasterawan Negara Usman Awang, “Ke Makam Bonda”, yang terdapat dalam antologi Titian Zaman. Beliau bertanya kepada murid tentang maksud makam. Murid memberitahu bahawa makam ertinya kubur. Seterusnya, guru bertanya pula

tentang maksud bonda. Dengan serentak, murid menjawab ibu dan sesetengahnya menyebut emak. Kemudian guru bertanya tentang judul yang lebih indah antara “Ke Makam Bonda” dengan “Ke Kubur Ibu” atau “Ke Kubur Emak”. Murid tersentak, barangkali berfikir dahulu sebelum mengeluarkan hujah.

___

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa Februari 2012

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *