Penguasaan Kosa Kata dalam Karangan

      No Comments on Penguasaan Kosa Kata dalam Karangan

Oleh S. ILANGKO

Penguasaan bahasa dan strategi menjawab soalan merupakan dua kriteria asas yang akan menentukan kejayaan murid dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Tanpa penguasaan kedua-dua aspek itu, murid tidak mungkin dapat menghasilkan jawapan yang tepat dan mantap. Oleh itu, aspek penguasaan bahasa dari segi kosa kata amat penting kerana memberikan kesan terhadap penulisan karangan.

Bahasa bersifat dinamis dan sentiasa mengalami evolusi. Bahasa akan sentiasa berkembang dari semasa ke semasa. Perkembangan yang nyata dan jelas dapat dilihat dari segi pembentukan istilah baharu dalam pelbagai bidang untuk memenuhi keperluan semasa. Hal tersebut jelas jika kita merujuk perkataan yang berikut yang mengalami perubahan dari segi ejaan dan sebutan.

Perkataan tauladan, ugama, poya-poya, berketrampilan dan menggembeleng mengalami perubahan mengikut perkembangan semasa. Golongan yang tidak mengikuti perkembangan bahasa mungkin masih menggunakan perkataan itu. Pada masa yang sama, generasi muda yang mengikuti perubahan dan perkembangan bahasa mungkin tidak arif tentang perubahan yang berlaku terhadap perkataan tersebut. Perubahan atau perkembangan itu berlaku kerana sifat bahasa yang sentiasa mengalami evolusi mengikut peredaran masa. Penguasaan bahasa hanya dapat dimantapkan jika murid peka tentang perkembangannya. Dengan kata lain, murid harus seiring sejalan dengan perkembangan

bahasa dari segi kosa kata, ejaan, imbuhan dan rumus bahasa yang lain.

Aspek penguasaan kosa kata dalam penulisan karangan sangat penting untuk menghasilkan karangan yang baik. Kegagalan murid menguasai kosa kata yang luas dan menepati konteks menyebabkannya tidak dapat menyampaikan isi dengan baiknya. Isi yang mantap dan huraian yang baik dipengaruhi cara penyampaiannya.

___

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa Februari 2012

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *