Turun ke Bendang Belajar Bahasa Melayu

      No Comments on Turun ke Bendang Belajar Bahasa Melayu

Oleh JYH WEE SEW

Persoalan sejauh mana bahasa Melayu dapat melangkah gagah ke ambang antarabangsa bukan lagi topic perbincangan yang baharu. Isu tersebut pernah mendapat liputan yang meluas pada akhir tahun 2009 dan pada pertengahan tahun lalu. Apabila kita membandingkan bahasa Melayu dengan beberapa bahasa yang lain, terdapat tiga perkara yang dapat difikirkan dari segi pentadbiran dan pemupukan nilai pasaran bahasa tersebut. Pengurusan nilai bahasa Melayu yang sistematik amat penting demi melancarkannya ke ufuk yang lebih tinggi.

Pada masa ini, sudah tentu calon sarjana yang ingin melanjutkan pelajaran ke negara Komanwel yang terpilih dan Amerika Syarikat akan sedar bahawa adanya peperiksaan IELTS (International English Language Testing Systems) dan TOEFL (Test of English as a Foreign Language) yang menjadi piawai penerimaan pelajar asing ke menara gading di negara yang berbahasa Inggeris. Sebaliknya, di Malaysia masih tidak ada kelayakan yang demikian untuk pelajar asing memasuki alam pendidikan Melayu. Pada peringkat pendidikan bahasa asing sekalipun, masih tidak ada ukur tara yang sahih. Ahli jawatankuasa bahasa Melayu berpusat yang pertama sekarang mungkin dapat memberikan perhatian terhadap peperiksaan kefasihan bahasa tersebut sebagai bahasa asing pada peringkat antarabangsa.

Perbandingan dapat dilakukan dengan penilaian bahasa asing, seperti bahasa Jepun, bahasa Korea, bahasa Jerman, bahasa Perancis dan bahasa Mandarin, yang memiliki peperiksaan bagi penilaian kefasihan bahasa. Pelajar asing yang belajar bahasa.

Jepun akan menduduki peperiksaan JLPT (Japanese Language Proficiency Test) dan pelajar bahasa Korea boleh menduduki peperiksaan KLPT (Korean Language Proficiency Test). Pelajar bahasa Mandarin pula mengambil peperiksaan HSK (Hanyu Shuiping Kaoshi) yang asalnya diusahakan oleh Universiti Bahasa dan Kebudayaan Beijing. Peperiksaan tersebut berpandukan acuan TOEFL dan diterima sebagai ukur tara bahasa Mandarin di seluruh China.

Seperkara lagi, bahasa dan kebudayaan Perancis sentiasa menjadi kebanggaan rakyat negara itu. Maka, Alliance Francaise telah ditubuhkan di 33 buah negara. Jumlah Alliance Francaise kini lebih daripada seribu buah pejabat di seluruh dunia yang berfungsi sebagai pusat pendidikan dan pemupukan kebudayaan dan bahasa Perancis di luar negara tersebut. Pusat bahasa dan kebudayaan itu menawarkan dua jenis sijil dan tiga tahap diploma yang berlainan sebagai pencapaian kefasihan bahasa dan budaya Perancis yang berbezabeza dalam kalangan pelajar asing di seluruh dunia.

___

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa Februari 2012

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *