Pengantarabangsaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Asing

Oleh ZAITUL AZMA ZAINON HAMZAH

Dari segi sejarah, bahasa Melayu, yang tergolong dalam keluarga bahasa Austronesia dan menggunakan aksara roman (rumi) dan jawi (huruf Arab yang diubah suai), telah mula dipelajari oleh pelajar di luar negara, termasuk Amerika Syarikat, England, Jerman, Perancis dan Australia, serta di negara Asia, seperti Jepun, Korea dan Sri Lanka, sebagai bahasa asing. Bahasa Melayu diterima sebagai satu daripada bahasa asing di dunia kerana bahasa itu lebih mudah dipelajari berbanding dengan bahasa Thai atau bahasa Vietnam.

Di samping itu, bahasa Melayu telah dianggap sebagai satu daripada “bahasa kerja” oleh beberapa buah negara. Hal tersebut ada kaitannya dengan perkembangan ekonomi, terutama dalam bidang perindustrian, dan perkembangan dalam bidang penyelidikan sains dan teknologi antara Malaysia dengan beberapa buah negara, seperti Korea, Jepun, Amerika Syarikat dan Jerman.

Menurut statistik World Almanac, penutur bahasa Melayu di dunia dianggarkan berjumlah melebihi 176 juta (termasuk penutur bahasa Indonesia). Bahasa itu merupakan bahasa ibunda bagi 200 hingga 300 juta orang penduduk dunia. Hal tersebut menjadi satu daripada faktor bahasa Melayu mudah tersebar di seluruh pelosok dunia dan diajarkan sebagai bahasa asing di beberapa buah universiti di Korea, Portugal, Jerman, Amerika

Syarikat dan Great Britain.

Tidak dinafikan juga bahawa kesediaan masyarakat di luar negara mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa asing didorong oleh beberapa sebab. Antaranya termasuklah dengan mempelajari bahasa itu, mereka dapat mengikuti kursus dalam bidang perhubungan antarabangsa, sains politik, sains kemasyarakatan, perniagaan, perubatan dan sains kewartawanan. Dengan kata lain, dengan menguasai bahasa Melayu, mereka akan menjadi lebih bernilai dan dapat menebusi pasaran kerja di rantau Asia.

___

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa Februari 2012

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *