Hati Hendak Semua Jadi

      No Comments on Hati Hendak Semua Jadi

Perangkaan Kementerian Pelajaran, seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri pada akhir tahun lalu, menunjukkan bahawa hanya kira-kira 11.7 peratus murid akan mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dengan sepenuhnya. Antara 32 hingga 33 peratus murid pula akan mempelajari kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Melayu dengan sepenuhnya dan yang selebihnya memilih untuk belajar secara dwibahasa.

Daripada perangkaan tersebut, jelas sekali bahawa kerajaan telah mengambil tindakan yang tepat apabila memansuhkan dasar pengajaran dan pemelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dan menggantikannya dengan dasar memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris. Perangkaan tersebut seharusnya membuka mata penyokong dasar lama agar melihat perkara itu dengan lebih luas dan bukan hanya memikirkan kepentingan sendiri semata-mata. Langkah kerajaan mengadakan tempoh peralihan secara soft landing membuktikan bahawa tindakan itu tepat dan sudah mengambil kira tuntutan antagonis dasar baharu itu. Oleh itu, semua pihak, termasuk kumpulan penentang itu, harus memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap dasar baharu itu agar matlamat pelaksanaannya tercapai.

Hakikatnya, kedudukan bahasa Melayu di negara ini perlu diperkukuh sebelum bahasa itu dapat disebarluaskan di luar negara. Kerajaan telah mengatur pelbagai perencanaan, terutama dalam sektor awam, untuk memperkukuh kedudukan bahasa Melayu di negara ini selain mewujudkan dasar baharu dalam sektor pendidikan. Sekali lagi hal tersebut menuntut iltizam dan keyakinan semua pihak agar pelaksanaannya memenuhi objektif yang disasarkan.

Pada masa yang sama, hasrat kerajaan untuk menyebarluaskan penggunaan bahasa Melayu di luar negara, seperti yang dinyatakan dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu VIII, melalui aktiviti pengajaran dan pemelajaran bahasa tersebut, pun perlu diberikan perhatian yang serius. Hal itu dikatakan demikian kerana kemajuan bahasa Melayu harus seiring dengan kemajuan negara. Apabila negara mencapai status maju lapan tahun dari sekarang, bahasa Melayu seharusnya demikian juga.

Pada kesempatan ini, saya merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada semua penyumbang Pelita Bahasa yang telah bersama-sama menjayakan penerbitan majalah tersebut daripada keluaran Mac 2007 hingga keluaran Februari 2012. Tanpa sumbangan, sokongan dan bantuan tersebut, tidak mungkin Pelita Bahasa menjadi majalah seperti yang ada pada hari ini.

___

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa Februari 2012

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *