Penguasaan Bahasa dan Kaedah Penyampaian Idea


Oleh NAWI ISMAIL

Bahasa merupakan wahana utama untuk menyampaikan idea. Oleh sebab itu, perkara yang diperkatakan oleh seseorang yang baik penguasaan bahasanya lebih mudah difahami berbanding dengan individu yang kurang mampu berbahasa dengan baik. Menyedari hakikat ini, pengguna bahasa, khususnya pelajar hendaklah mencari jalan untuk meningkatkan penguasaan bahasa masing-masing bagi memastikan idea yang diketengahkan bukan sahaja menarik untuk didengar atau dibaca tetapi juga dapat mempengaruhi pendirian pembaca.

Di sekolah, terdapat segelintir guru yang cukup berpuas hati apabila ramai pelajar mereka memperoleh A dalam Bahasa Melayu (BM). Tidak dinafikan bahawa pencapaian sedemikian penting lebih-lebih lagi dalam sistem pendidikan yang mengiktiraf kecemerlangan berdasarkan peratusan pelajar yang mendapat A dalam peperiksaan. Jika demikian halnya, matlamat tersebut tercapai. Walaupun begitu, aspek lain yang berkaitan tidak harus dikesampingkan.

Selain memperoleh A dalam peperiksaan, pelajar yang berkenaan seharusnya turut cemerlang dalam penggunaan bahasa sehari-hari. Kurang wajar jika pelajar mendapat A dalam BM tetapi percakapan atau tulisannya sukar difahami. Malang benar sekiranya pelajar yang memperoleh A dalam BM tetapi memperkatakan sesuatu tanpa diketahui hujung pangkalnya.

___

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa, Mac 2012.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *