Perutusan Tahun Baru

      1 Comment on Perutusan Tahun Baru

Kementerian Pelajaran ialah nadi utama dalam usaha membangunkan modal insan yang akan memacu kemajuan negara. Matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju amat bergantung pada keupayaan warga kementerian dalam menyediakan pendidikan berkualiti. Oleh itu, setiap warga pendidik perlu meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan melipatgandakan usaha bagi melahirkan modal insan yang berilmu, kreatif dan inovatif untuk mengisi keperluan kini dan masa hadapan.

Kementerian Pelajaran diberikan peruntukan RM37.28 bilion dalam belanjawan 2012. Peruntukan itu akan dibelanjakan secara cekap dan berhemah agar dapat memberikan kesan berganda yang positif kepada pembangunan pendidikan secara menyeluruh.

Infrastruktur dan Kebajikan

Kerajaan sedar akan peningkatan kos sara hidup sejak akhir-akhir ini. Namun demikian, hal itu tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan pendidikan anak-anak. Untuk meringankan beban kos tanggungan persekolahan, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM530 juta untuk bantuan khas awal tahun kepada setiap murid dengan pemberian RM100 seorang. Pemberian dalam bentuk baucar buku bernilai RM200 juga disalurkan kepada setiap pelajar matrikulasi dan tingkatan enam dengan jumlah peruntukan sebanyak RM24 juta. Keprihatinan kerajaan menyalurkan bantuan persekolahan kepada murid yang kurang kemampuan diteruskan pada tahun ini dengan jumlah keseluruhan peruntukan ialah RM606 juta, meliputi Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) RM400 juta, rancangan

makanan tambahan sebanyak RM201.9 juta dan bantuan pakaian seragam pasukan beruniform sebanyak RM4.5 juta. Kementerian Pelajaran telah mengambil inisiatif untuk memastikan penyaluran peruntukan bantuan persekolahan dilaksanakan dengan lebih baik melalui penambahbaikan kaedah penyaluran menggunakan Sistem e-Bantuan.

___

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa, Mac 2012.

One thought on “Perutusan Tahun Baru

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *