Nilai Budaya dalam Peribahasa

      No Comments on Nilai Budaya dalam Peribahasa

Oleh Zaitul Azma Zainon Hamzah

Bahasa mempunyai kaitannya dengan masyarakat, kebudayaan dan pemikiran penuturnya. Sekiranya dicermati daripada pelbagai bentuk dan kaedah yang mengaturnya, budaya santun dan nilai kehidupan merupakan satu daripada bentuk ikatan antara bahasa, masyarakat, budaya dan pemikiran yang diwarisi daripada bahasa ibunda setiap penuturnya. Sebagai contoh, peribahasa Melayu. Hakikatnya, peribahasa itu terbukti memancarkan nilai budaya bangsa Melayu dalam bahasanya.

Melalui peribahasa, terpancar peraturan hidup, nilai murni dan etika, dan kandungan pemikiran masyarakat Melayu silam. Apa-apa yang dilahirkan melalui peribahasa itu merupakan nasihat, teladan, pengajaran, pernyataan adat istiadat yang menggunakan ragam bahasa yang bernilai tinggi dan bernilai estetika.

Peribahasa Melayu mempunyai kaitan yang rapat dengan kehidupan dan pemikiran bangsa pemiliknya. Sebagai satu daripada puisi tertua yang memaparkan akal budi bangsa itu, penciptaan peribahasa sangat terikat dengan adat istiadat Melayu lama dan geobudayanya. Pendek kata, alam sekeliling ialah derivatif peribahasa Melayu. Hal itu berlaku apabila orang Melayu bertembung dengan sesuatu objek, organisma (tumbuhan, haiwan dan benda hidup yang lain) dan perlakuan manusia, berlakulah interaksi melalui sistem saraf dengan objek, organisma dan perlakuan manusia lalu membentuk makna pemikiran dan nilai yang diungkapkan dalam bentuk peribahasa. Misalnya, pertembungan dengan bunga dedap yang cantik berwarna merah tetapi tidak berbau disamakan rujukannya dengan gadis yang cantik tetapi tidak berbudi bahasa. Hal itu dikatakan demikian kerana

bangsa Melayu mengutamakan budi bahasa sebagai lambang budi pekerti mulia. Maka, gadis yang tidak berbudi bahasa dianggap “tidak wangi”, yakni tidak menarik perhatian orang lain untuk mendekatinya atau melihatnya. Oleh itu, ciri yang dipunyai oleh bunga dedap dipetakan dengan sifat gadis yang tidak berbudi bahasa.

___

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa Disember 2011.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *