“Kerja Bahasa Bukan Seperti Kerja Biasa”

oleh ARMIN AZHARI & ZURAINI ABU BAKAR

Tunjuk perasaan tahun 1967 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, yang dianjurkan oleh Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan, merupakan kemuncak penentangan tokoh bahasa terhadap langkah kerajaan melanjutkan tempoh penggunaan bahasa Inggeris dalam semua sektor. Sebagai pengarah DBP, Syed Nasir Ismail mengambil tanggungjawab apabila gagal menjadikan tahun tersebut sebagai tahun terakhir penggunaan bahasa itu dalam semua sektor. Hal ini dikatakan demikian kerana menurut Perlembagaan Persekutuan, 10 tahun sesudah kemerdekaan Parlimen membuat keputusan tentang perkara tersebut.

Dalam tunjuk perasaan yang penuh emosi itu, dengan tegas Syed Nasir memberikan jaminan untuk sehidup semati bersama-sama tokoh bahasa, memperjuangkan penggunaan bahasa Melayu dalam semua sektor – suasana yang tidak lagi kelihatan sekarang dalam perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Sebagai pejuang bahasa yang “tulen”, beliau hadir di tengah-tengah tunjuk perasaan untuk menegaskan pendiriannya sekalipun keadaan begitu berbahaya dan nyawanya terancam. Maka, tidak hairanlah kalau jaminan yang diberikan oleh Syed Nasir itu menyebabkan hubungannya dengan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra, tegang – keadaan yang lazimnya berlaku apabila timbul isu bahasa, termasuk kini.

___

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa, Mac 2012.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *