Tun Syed Nasir Ismail Panglima Bahasa

      No Comments on Tun Syed Nasir Ismail Panglima Bahasa

oleh ILLIAS ZAIDI

Ra n g U n d a n g – u n d a n g Bahasa Kebangsaan untuk menguatkuasakan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi mulai 1 September 1967 telah dibentangkan semasa persidangan Dewan Rakyat, pada 23 September 1967.

Menurut Rang “Undang-undang itu, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri diberi hak untuk menterjemahkan kenyataan-kenyataan rasmi ataupun perhubungannya ke dalam bahasa kaum-kaum lain di Persekutuan Tanah Melayu kalau difikirkan perlu dan mustahak untuk orang ramai. Rang Undang-undang itu juga memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membenarkan penggunaan terus bahasa Inggeris untuk tujuan-tujuan rasmi sekiranya difikirkan perlu.”

Episod ini dianggap oleh seluruh warga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di bawah kepemimpinan Syed Nasir Ismail (Tan Sri dan kemudian Tun) sebagai melukakan lagi menyayat hati. “Bayangkan betapa sedih dan terharunya hati kami selaku pejuang bahasa bukan sahaja di Dewan ini bahkan di luar sana demi memikirkan segala usaha, perancangan, tindakan dan pelaksanaan yang kami lakukan dalam tempoh satu dekad, hancur berkecai begitu sahaja”.

Syed Nasir meluahkan kekecewaan berat ini kepada saya dalam satu pertemuan singkat di pejabatnya, seingat-ingat saya ketika itu beliau menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat, di Bangunan Parlimen dengan harapan biarlah episod berkenaan menjadi lakaran sejarah untuk renungan generasi masa kini dan akan datang. Syed Nasir tidak mahu peristiwa pahit itu diungkit-ungkit kembali. Kebetulan pula, wawancara kami berkisar pada majlis tilawah al-Quran dan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi. Syed Nasir terus memegang jawatan Speaker kelima Dewan Rakyat itu sehingga menghembus nafas terakhir pada tahun 1982.

Penghambat kelancaran proses memartabatkan bahasa Melayu nampaknya terletak pada kalangan pemimpin dan golongan Melayu itu sendiri. Justeru tidak hairan apabila Syed Nasir Ismail melahirkan ungkapan ultra panglima Melayunya ketika berucap sempena sambutan 10 tahun DBP pada 27 Julai 1967: “Banyak lagi waktunya saya sendiri menghadapi kesesakan nafas apabila orang politik cuba hendak memporak-perandakan peranan DBP dengan hujah-hujah politik mereka. Saya tidak hairan jika orang tersalah kritik sebab tidak tahunya, tetapi saya sungguh-sungguh terharu apabila orang yang tidak tahu tidak pula mahu mengambil tahu atau sengaja tidak mahu hendak mengambil tahu supaya ketidaktahuannya dapat digunakan menjadi alasan hendak membidas bagi diri dan kepentingan politik masing-masing. Pada waktu-waktu seperti itu, saya bukan menangis kerana sedih tetapi kerana terharu demi melihat bahawa kebenaran selalunya mesti diperjuangkan.”

___

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa, Mac 2012.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *