Pengusung Papan Tanda

      No Comments on Pengusung Papan Tanda

Oleh MD NIZAR PARMAN

Saya meyakinkan diri saya yang pandangan saya tidak silap. Ya, itu memang dia. Cuma saya belum berani mahu mendekatinya.Saya hanya memandangnya dari jauh. Dengan baju lengan pendek yang agak lusuh dan dibasahi peluh, dia mengusung papan tanda dari sebuah lori kecil ke kawasan yang hendak dipasangnya. Kelmarin, semalam dan hari ini, terikat tuala kecil untuk melindungi kepalanya daripada diselomot matahari yang terik.

Sesekali dia menyandarkan tubuhnya pada pohon yang rendang di bahu jalan – menyeka peluh yang membasahi wajahnya yang kian hangus dibakar panas matahari. Kelihatannya dia pekerja yang tekun. Susuk tubuhnya agak kurus, tetapi otot-ototnya kelihatan pejal. Selama tiga hari yang saya lihat, dia mengenakan seluar jean yang sama; seluar jean yang lusuh dan koyak pada bahagian lututnya.

Saya memberhentikan kereta agak jauh supaya tiada sesiapa yang mengesyaki perbuatan saya. Jalan itu merupakan laluan saya saban hari untuk ke tempat kerja. Jika dilihat pada bahagian belakang lori kecil yang dipenuhi papan tanda itu, saya pasti kerja yang dilakukannya akan mengambil masa beberapa hari lagi.

Memang wajar papan tanda yang sedia ada itu diganti. Warna dan tulisan pada papan tanda yang ada sekarang cukup menyakitkan mata. Ada sebahagian papan tanda hanya tinggal tiangnya sahaja. Entah dilanggar pemandu yang mengantuk; entah dicuri oleh orang yang terdesak kerana harganya yang agak mahal jika dijual di kedai besi buruk.

Sehinggalah pada suatu hari dia melakukan kerja itu berhampiran dengan sebuah gerai makan yang sering saya singgah untuk membeli lauk-pauk dan kebetulan pula dia bersama-sama tiga orang pekerja yang lain datang untuk makan di situ. Dia membuka tuala kecil yang mengikat kepalanya – mengelap wajahnya yang dibasahi peluh dengan tuala itu. Apabila melihat cara dia bernafas, saya pasti dia memang keletihan.

Saya memberanikan diri untuk menegurnya. Alangkah tidak moleknya jika saya tidak menegurnya kerana saya memang mengenali dia. Saya tidak menyalahkannya jika dia tidak menegur saya terlebih dahulu.

“Assalamualaikum,” sapa saya dengan lembut.

“Waalaikumsalam,” jawabnya dan rakan-rakannya hampir sederam.

Dia terkesima. Melihat saya agak lama. Beberapa kali dia mengelipkan matanya dan cuba mengamati wajah saya. Saya menarik nafas lega apabila secarik senyuman terukir di bibirnya. Dia langsung bangun; menjabati tangan dan menciumi tangan saya.

“Subhnallah. Cikgu Mustafa, bukan?” ujarnya separuh menjerit. “Maafkan saya, cikgu. Saya betul-betul tak perasan.”

“Tidak mengapalah, Azim. Sudah hampir dua puluh tahun. Tengoklah rambut saya. Lebih banyak yang putih daripada hitamnya,” jawab saya berseloroh.

Dia ketawa. Bunyi ketawanya masih tidak berubah. Cuma kedengaran agak garau sedikit.

“Cikgu masih mengajar di sekolah lama?”

“Tidak. Saya telah bertukar ke sekolah lain. Naik pangkat. Alhamdulillah, saya sudah jadi guru besar sekarang,” jawab saya polos.

“Syukur, alhamdulillah. Jemputlah minum, cikgu,” pelawanya.

Saya menolaknya dengan baik. Saya mengatakan kepadanya saya perlu menghantar lauk-pauk yang saya beli untuk anak saya. Anak saya yang bongsu berusia lima belas tahun dan bersekolah di sekolah menengah yang berhampiran dengan rumah. Isteri saya pula bertugas di sebuah sekolah yang agak jauh dari rumah dan waktu kepulangannya juga tidak tentu. Kadang-kadang pukul tiga petang baru tiba di rumah. Selepas menghantar lauk-pauk itu, saya akan kembali ke sekolah pula hingga pukul lima petang.

“Jika begitu tidak mengapalah, cikgu. Mungkin lain kali kita boleh minum dan makan bersama-sama,” ujarnya.

“Insya-Allah,” balas saya.

“Oh, ya! Sebelum ini Azim kerja di mana? Tidak pernah saya nampak?”

Dia tersenyum. “Di Kuantan, cikgu. Kerja yang sama. Tapi baru tiga hari buat kerja di sini. Dapat tender pasang papan tanda dari Kluang ke Batu Pahat,” jawabnya.

Saya terangguk-angguk. Kemudian saya meminta diri untuk pulang ke rumah. Saya takut telat pula untuk ke sekolah semula. Saya sempat menasihatinya supaya bekerja dengan tekun dan rajin.

­­___

Cerpen ini dipetik daripada Pelita Bahasa, April 2012.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *