Gulai Itik dan Pak Loong di Jitra

      No Comments on Gulai Itik dan Pak Loong di Jitra

Oleh SHAZLIN FARHAN

Jitra, sebuah bandar dalam kawasan Parlimen Kubang Pasu, terletak 20 kilometer ke utara Alor Setar. Kedudukan bandar Jitra lebih kurang 30 kilometer dari sempadan Malaysia – Thailand di Bukit Kayu Hitam. Oleh sebab kedudukannya yang hampir dengan sempadan Thailand, banyak penduduk Jitra berketurunan Siam dan boleh bertutur bahasa Siam. Nama Jitra juga berasal daripada bahasa Siam yang bermaksud “berhenti rehat”. Selain Jitra, banyak nama tempat di Kedah yang berasal daripada bahasa Siam, umpamanya Kodiang (pulau merah), Changloon (gajah duduk), Bedong (riuh-rendah), Tokai (saudagar) dan Sik (empat).

Sewaktu Perang Dunia Kedua, Jitra ialah kubu pertahanan hadapan yang utama bagi Tanah Melayu. Pertempuran sengit antara tentera Jepun dengan tentera British yang dikenali sebagai “Pertempuran Jitra” berlaku pada 11 dan 12 Disember 1941. Jepun berjaya menduduki Bukit Jantan dan Bukit Alor, kubu yang strategik dan penting bagi pertahanan Jitra. Pasukan British berundur ke Sungai Bata dan Kelubi di selatan Jitra untuk memperkuat kedudukannya. Akhirnya, Jitra dapat ditawan oleh tentera Jepun pada 12 Disember 1941.

Di beberapa buah tempat di daerah Jitra, masih kedapatan kesan atau bekas kubu pertahanan tentera British. Bapa penulis menceritakan bahawa pada zaman kanak-kanak, dia dan kawan-kawannya selalu juga terjumpa senapang dan peluru yang timbul ke permukaan tanah akibat hakisan hujan. Bahan atau belerang yang terdapat dalam peluru tersebut masih elok, walaupun telah tertimbus selama 50 tahun. Mereka mengeluarkan bahan tersebut dan apabila dibakar, bahan tersebut masih berfungsi, terbakar seperti bunga api.

Sewaktu kunjungan ke Jitra baru-baru ini, penulis menyaksikan betapa pesatnya perkembangan dan pembangunan bandar ini. Jika dahulu Jitra hanyalah sebuah pekan kecil, kini daerahnya semakin luas. Pertambahan penduduk serta peningkatan taraf hidup menyebabkan sebuah lagi pekan dibangunkan, iaitu Pekan Jitra 2 atau lebih dikenali sebagai PJ2. Terdapat beberapa buah sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan serta dua buah sekolah berasrama penuh di sini. Selain itu, beberapa buah institusi pendidikan terdapat di Jitra, iaitu Universiti Utara Malaysia, Institut Perguruan Darul Aman, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kubang Pasu, Institut Latihan Perindustrian, Institut Aminudin Baki dan Institut Kemahiran Belia Negara.

­­___

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa, April 2012.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *