Ada Kemahuan Ada Jalan

      No Comments on Ada Kemahuan Ada Jalan

Sebagai penaja majlis sastera yang dianjurkan oleh sebuah syarikat tempatan, Hugh Thompson diminta berucap ketika majlis penyampaian hadiahnya. Maka, beliau pun membaca teks ucapan yang telah disediakan dengan bersungguh-sungguh.

Thompson, yang berasal dari Scotland, berjaya membaca teks ucapan dua halaman tersebut, walaupun kedengaran telornya, dan mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin. Menurutnya, itulah kali kedua beliau menyampaikan ucapan dalam bahasa kebangsaan. Thompson, yang telah beberapa tahun bertugas sebagai pengerusi sebuah syarikat multinasional antarabangsa di negara ini, ibarat pepatah masuk ke dalam kandang kambing mengembek, masuk ke dalam kandang kerbau menguak kerana dapat menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan tempatan.

Dalam peristiwa yang lain, wanita berketurunan Cina itu menerangkan cara beliau mempelajari bahasa kebangsaan kepada penuntut Universiti Malaya. Katanya, beliau dan beberapa orang rakannya mengupah seorang guru bahasa Melayu untuk menjadi tenaga pengajar mereka. Bukan itu sahaja, beliau berjaya membaca karya Hamka Tenggelamnya Kapal Van Der Wijke, yang, menurutnya, amat menarik untuk dibaca dan dihayati. Maka, daripada orang yang tidak dapat bertutur dalam bahasa Melayu yang baik, mantan guru itu mampu menguasai bahasa tersebut yang memudahkannya melaksanakan pengajaran di kelas.

Kedua-dua peristiwa itu menunjukkan bahawa di mana-mana ada kemahuan di situ ada jalan. Thompson dan mantan guru itu mampu menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan semasa. Mereka tidak mengeluh apabila diminta melakukan sesuatu yang tidak terkandung dalam diari kehidupan harian mereka. Hakikatnya, dengan keinginan yang bersungguh-sungguh dan ikhtiar yang berterusan, mereka berjaya melakukannya. Sesungguhnya, dengan sikap yang demikian, apa-apa sahaja dapat dilaksanakan, justeru yang sukar menjadi mudah.

Perjalanan tahun 2010 tiba di destinasinya pada 31 Disember. Walaupun tiada “kemenangan” untuk diraikan atau “kekalahan” untuk ditangisi, bahasa kebangsaan terus diasak dengan hebat dan deras dari pelbagai sudut oleh mereka yang sepatutnya memelihara dan mempertahankannya. Masih ada pihak yang bertungkus-lumus menuntut supaya penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pemelajaran Sains dan Matematik dikembalikan. Yang anehnya, pihak tersebut diterajui penutur asli bahasa kebangsaan, yang sepatutnya memelihara dan mempertahankan bahasa itu. Jika pihak tersebut mempunyai iltizam dan tekad untuk memperjuangkan agendanya, pihak yang lain pun perlu bertindak demikian demi memelihara dan mempertahankan bahasa kebangsaan negara.

-Armin Azhari Saleh

___

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa Disember 2011.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *