Memantapkan Pengajaran Bahasa Melayu

      No Comments on Memantapkan Pengajaran Bahasa Melayu

Oleh HASAN BASERI BUDIMAN

Sebenarnya tidak banyak guru yang mengambil berat tentang pentingnya objektif pengajaran, ketika mereka mengajar. Hal ini dikatakan demikian mungkin kerana guru tidak pernah menyedari bahawa objektif pengajaran itu merupakan pernyataan penting bagi mengenali perubahan yang diharapkan dalam pemikiran, tindakan atau perasaan murid, hasil daripada sesuatu kelangsungan proses pembelajaran di bilik darjah, yang juga akan menerangkan perkara yang dapat murid lakukan setelah menyempurnakan sesuatu unit pelajaran.

Tegasnya, objektif pengajaran ialah pernyataan yang menjelaskan hasil atau produk pembelajaran yang diharapkan dapat dikuasai murid pada akhir unit sesuatu pelajaran dan dapat pula diukur atau dilihat untuk dijadikan sebagai bukti bahawa objektif pembelajaran berlaku kepada murid.

Kegagalan memahami betapa pentingnya sumbangan objektif dalam pengajaran telah menjadikan kebanyakan guru bahasa Melayu:

  • Gagal mengenal pasti topik yang hendak diajarkan dan yang akan memandu mereka membuat pemilihan kaedah atau strategi pengajaran-pembelajaran termasuk jenis bantuan teknologi pendidikan yang sesuai digunakan.
  • Gagal menilai pelaksanaan rancangan pengajaran, keberkesanan pengajaran dan pencapaian murid.
  • Gagal melaksanakan pengajaran pemulihan atau pengayaan kepada murid yang memerlukannya.
  • Gagal menyedarkan murid tentang perkara atau objektif yang diharapkan untuk dicapai pada akhir pembelajaran, bagi memastikan mereka lebih peka dalam mempertingkatkan penguasaan bahasa Melayu di luar bilik darjah.

Hasilnya, terjadilah pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu yang tidak lebih daripada satu proses memberikan ilmu secara melepaskan batuk di tangga sahaja. Kita tidak perlu hairan jikalau selepas 55 tahun negara kita merdeka, masih banyak murid yang tidak mampu untuk menguasai bahasa Melayu dengan betul.

Sepatutnya setiap guru Bahasa Melayu yang bertanggungjawab harus rasa bimbang dengan sikap acuh tidak acuh mereka selama ini terhadap pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan di bilik darjah kerana kerja sebegini akan terus merencatkan strategi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk memartabatkan bahasa Melayu di sekolah. Sudah sampai masanya guru bahasa Melayu merencanakan sendiri usaha memartabatkan bahasa kebangsaan ini dengan lebih cekap, ketika KPM sudah pun merangka strategi dalam melaksanakan langkah untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid melalui dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris

(MBMMBI). Antara langkah tersebut termasuklah:

  • Penambahan bilangan guru bahasa Inggeris sebanyak 13 933 orang untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid. Ini termasuklah 1000 orang guru dari luar negara, 600 orang guru bersara dan 12 333 guru tambahan dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Keutamaan akan diberikan kepada sekolah luar bandar dan pedalaman untuk mendapatkan guru terbaik. KPM juga akan menyediakan guru penolong bahasa Inggeris gred DG 41 untuk kelas yang melebihi 35 orang murid tahun satu dan tahun dua.
  • Peruntukan waktu mata pelajaran Bahasa Inggeris bagi sekolah kebangsaan Tahap I ditambah sebanyak 90 minit daripada 240 minit menjadi 330 minit seminggu. Bagi Tahap II ditambah sebanyak 90 minit daripada 210 minit menjadi 300 minit seminggu.
  • Peruntukan waktu mata pelajaran Bahasa Inggeris bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina atau Tamil, Tahap I ditambah 100 peratus, iaitu daripada 60 minit menjadi 120 minit seminggu. Bagi Tahap II ditambah sebanyak 30 minit daripada 90 minit menjadi 120 minit seminggu.
  • Peruntukan waktu mata pelajaran Bahasa Inggeris bagi tingkatan satu hingga tingkatan enam ditambah sebanyak 80 minit daripada 200 minit menjadi 280 minit seminggu.
  • Peruntukan waktu bagi Malaysian University English Test (MUET) untuk murid tingkatan enam ditambah sebanyak 80 minit daripada 320 minit menjadi 400 minit seminggu.
  • Peruntukan waktu mata pelajaran Bahasa Inggeris bagi program matrikulasi ditambah 100 peratus iaitu daripada tiga jam menjadi enam jam seminggu.
  • Program Sastera Kontemporari Kanak-kanak Bahasa Inggeris diperkenalkan kepada semua murid Tahap II untuk mengukuhkan minat membaca mereka di samping memperkenalkan unsur sastera.
  • Makmal bahasa Inggeris akan diwujudkan di sekolah untuk memudahkan murid mempelajari bahasa Inggeris dengan lebih berkesan.
  • Teknologi maklumat akan dimanfaatkan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris melalui penggunaan perisian komputer yang sesuai.
  • Pelajaran tatabahasa bahasa Inggeris akan diberikan penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.
  • Pendedahan istilah sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris, elemen sains dan teknologi akan diserapkan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.

­­___

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa, April 2012.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *