Konflik Watak Utama dalam Novel Renyah

      No Comments on Konflik Watak Utama dalam Novel Renyah

Oleh SAMAT BUANG

Setiap manusia, sama ada secara sedar ataupun tidak, pernah mengalami konflik dalam diri mereka ketika berhadapan dengan manusia lain sama ada dalam keluarga sendiri atau orang luar. Dari segi penggunaan istilah yang dihubungkan dengan drama Greek, konflik disebut sebagai agon. Istilah protagonis dan antagonis adalah berasal daripada peranan yang dimainkan oleh watak dalam konflik atau agon itu. Dengan kata lain, konflik atau pertentangan menggambarkan perselisihan, pertikaian atau pergeseran antara manusia dengan manusia sebagai dua individu, manusia dengan dirinya sendiri, iaitu dalam jiwanya, manusia dengan haiwan, manusia dengan masyarakat, atau antara manusia dengan unsur alam seperti banjir, ribut, kemarau, kebakaran, tanah runtuh, gunung berapi dan jerebu. Konflik timbul daripada keadaan saling bertindak antara dua kuasa yang berlawanan dalam

plot sesebuah cerita.

Konflik sebenarnya merupakan peringkat yang menimbulkan unsur ketegangan dan yang menarik perhatian dalam sebarang bentuk cereka, sama ada drama, novel, ataupun cerpen. Sekurang-kurangnya satu daripada kuasa yang berlawanan itu biasanya ialah manusia, atau jika haiwan atau objek, lazimnya digambarkan seolah-olah sebagai manusia. Hal ini sudah pasti banyak ditemukan oleh pelajar ketika membaca novel kajian mengikut zon masing-masing. Biasanya, sesuatu konflik itu dicetuskan setelah pengarangnya mengetengahkan unsur ketegangan, kejutan dan juga krisis. Unsur krisis ini merupakan bunga kepada tercetusnya sesuatu konflik.

Konflik dapat dibahagikan kepada tiga kategori:

(i) Secara fizikal – Unsur ini mungkin terjadi antara manusia dengan manusia, seperti perkelahian dan peperangan. Misalnya, pertentangan antara anggota polis dengan pengganas komunis yang digambarkan dalam novel Bukit Kepong, karya Ismail Johari.

(ii) Secara batiniah atau perasaan – Unsur ini lazimnya terjadi pada sesuatu watak yang mengalami sesuatu kejadian atau peristiwa yang mendatangkan kesulitan, kesedihan atau kemurungan pada fikiran serta perasaan. Umpamanya, ketika menghadapi peperangan, banjir besar, kemarau panjang, jerebu, serangan haiwan terhadap tanaman dan kehilangan tempat pergantungan. Sebagai contoh, kesan peperangan yang timbul akibat serangan Jepun terhadap penduduk di sekitar Tanah Melayu, seperti yang digambarkan dalam novel Di Hadapan Pulau, karya A. Samad Said.

(iii) Secara idea atau pemikiran – Biasanya konflik atau pertentangan secara

idea atau pemikiran dicetuskan oleh novelis terhadap dua watak sekurang-kurangnya. Kedua-dua watak berbeza dari segi fahaman dan pendapat terhadap sesuatu persoalan atau permasalahan yang dibincangkan, akhirnya tercetuslah konflik idea atau pemikiran. Sekiranya terlalu meruncing, ada ketikanya boleh mencetuskan konflik fizikal dan konflik batin, seperti yang digambarkan melalui watak Awanis, Anita dan Maysarah dalam novel Seteguh Karang, karya Tuan Faridah Syed Abdullah.

­­___

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa, April 2012.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *