Isu Semasa dalam Karangan Perbincangan

      No Comments on Isu Semasa dalam Karangan Perbincangan

Oleh IZANI DAUD

Karangan jenis perbincangan merupakan karangan yang kerap ditanya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Karangan jenis ini boleh membawa markah yang baik jika calon dapat memenuhi ciri yang diperlukan.

Soalan karangan jenis ini biasanya mempunyai hubung kait dengan isu semasa atau topik hangat yang diperkatakan dalam media massa. Oleh itu, dalam penulisan karangan jenis perbincangan, isu yang dikemukakan mestilah logik atau munasabah yang disokong oleh bukti atau contoh yang sesuai. Untuk mendapatkan fakta, murid hendaklah sentiasa membaca akhbar atau majalah. Selain mencatat fakta penting daripada media massa, murid dapat juga mencatat perangkaan atau statistik yang terdapat dalam isu yang diperkatakan.

Contohnya, untuk membincangkan isu berkaitan dengan kerosakan akhlak dalam kalangan remaja masa kini, murid perlu membuat catatan perangkaan tentang jumlah yang terlibat dengan salah laku murid, seperti ponteng sekolah, lari dari rumah, lumba haram dan kes jenayah. Perangkaan tentang keterlibatan remaja dalam gejala sosial ini dapat menyokong huraian dan isi penting dalam sesebuah karangan jenis perbincangan.

Perbincangan hendaklah meluas dan lebih terperinci. Fakta yang dikemukakan bukan setakat pernyataan umum, tetapi hendaklah dibincangkan secara mendalam, di samping memberikan cadangan untuk mengatasinya.

Misalnya, ketika menulis perihal gejala sosial dalam kalangan remaja, murid tidak seharusnya hanya mengemukakan punca keruntuhan akhlak. Murid perlu juga memberikan syor tentang cara yang berkesan untuk mengatasi masalah ini.

Oleh sebab soalan karangan jenis perbincangan ini popular, murid perlu bersedia lebih awal. Satu cara praktikal yang dapat dilakukan adalah dengan mengumpul rencana daripada akhbar setiap hari.

­­

_

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa, April 2012.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *