Soal Jawab Bahasa April

      No Comments on Soal Jawab Bahasa April

Oleh Abdul Ghalib Yunus

Kekeliruan ejaan kata majmuk

Soalan:
Tuan, benarkah kata majmuk yang dieja secara rapat terdiri daripada 15 perkataan? Adakah perkataan seperti peribadi, peribahasa, dukacita, sukacita, kepada, daripada dan bagaimana tidak digolongkan sebagai kata majmuk? Mengapakah perkataan ‘ubahsuaiʼ yang merupakan kata majmuk dieja secara rapat?
Daripada
Jasmi Mohammad,
Solok Duku, Masjid Tanah.
Jawapan:
Dalam bahasa Melayu, lazimnya kata majmuk dieja secara terpisah. Namun demikian, terdapat 15 kata majmuk yang dieja secara rapat. Hal ini dianggap sebagai kekecualian daripada peraturan. Ejaan kata majmuk yang dieja secara rapat ini dikekalkan kerana penggunaannya telah sekian lama dipraktikkan oleh pengguna bahasa. Dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, ejaan kata majmuk yang dianggap mantap adalah seperti antarabangsa, beritahu, bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, olahraga, matahari, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, warganegara, dan pesuruhjaya,
Kekeliruan berlaku apabila perkataan seperti peribadi, peribahasa, hulubalang, sukacita dukacita, kepada, daripada, apabila, manakala, padahal, darihal, barangkali, kadangkala, bagaimana, apakala, walhal, dan dinihari dianggap sebagai kata majmuk yang dieja secara rapat.       Jika kita merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (Hal. 74), perkataan tersebut bukanlah kata majmuk. Perkataan tersebut tergolong dalam golongan kata tertentu yang secara lazimnya dieja tercantum. Sebagai contohnya, perkataan peribadi bukanlah terbentuk daripada perkataan ‘periʼ dan ‘badiʼ, sebaliknya perkataan ini merupakan perkataan yang tersendiri dan tergolong sebagai kata nama. Sama juga halnya dengan perkataan seperti dukacita dan sukacita tergolong sebagai kata adjektif, perkataan kepada dan daripada yang tergolong sebagai kata sendi nama serta perkataan apabila, manakala, padahal, dan sebagainya yang tergolong sebagai kata hubung.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran April

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *