Menyingkap Kekaburan “Untuk”

      No Comments on Menyingkap Kekaburan “Untuk”

Oleh Kho Thong Eng

      Kata untuk merupakan kata tugas yang mendukung pelbagai fungsi dalam tatabahasa bahasa Melayu. Kata tersebut kebiasaannya digunakan sebagai sendi nama, untuk menghubungkan sesuatu komponen ayat dengan kata nama atau frasa nama. Sila lihat contoh yang berikut:

  1. Hadiah ini untuk Aminah.
  2. Hadiah ini untuk Cikgu Hassan.
  3. Hadiah ini untuk adik yang menyambut hari jadinya.

Dalam ayat 1, kata sendi nama untuk digunakan untuk menghubungkan frasa nama subjek “hadiah ini” dengan kata nama “Aminah”. Dalam ayat 2, untuk digunakan untuk menghubungkan frasa nama subjek “hadiah ini” dengan frasa nama “Cikgu Hassan”. Bagiayat 3 pula, untuk digunakan untuk menghubungkan frasa nama subjek “hadiah ini” dengan frasa nama “adik yang menyambut hari jadinya”, yang mengandungi klausa relatif “yang menyambut hari jadinya”

Bagi binaan ayat 1, 2 dan 3, kata untuk tidak boleh diganti dengan kata sendi nama “bagi”. Hal ini dikatakan demikian kerana kata untuk dalam ayat 1, 2 dan 3 berfungsi untuk “menyatakan maksud bahagian yang ditentukan atau diperuntukkan”. Sila lihat contoh yang berikut:

*4. Hadiah ini bagi Aminah.
*5. Hadiah ini bagi Cikgu Hassan.
*6. Hadiah ini bagi adik yang menyambut hari jadinya.

Namun begitu, jika kata untuk membawa maksud “menunjukkan kegunaan untuk sesuatu”, kata tersebut boleh bertukar ganti dengan “bagi” tanpa menjejaskan maksud ayat. Sila lihat contoh yang berikut:

7. Rumah kebajikan untuk / bagi warga tua semakin banyak.
8. Buku untuk / bagi kegunaan murid-murid sudah diperoleh.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran April

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *