Antara Gerai, Kios dan Pondok

      No Comments on Antara Gerai, Kios dan Pondok

Oleh S. Nathesan

       Banyak perkataan baharu terserap ke dalam bahasa Melayu dari semasa ke semasa daripada bahasa-bahasa lain, khususnya daripada bahasa Inggeris untuk mengungkapkan pelbagai konsep atau gagasan yang belum wujud dalam bahasa Melayu. Antara kata yang terserap ke dalam bahasa Melayu sejak tahun 1970-an lagi termasuklah kata kios, iaitu kata yang dipinjam daripada kata Inggeris kiosk. Kata tersebut disesuaikan ejaan menjadi kios dalam bahasa Melayu.

      Apakah maksud kios? Menurut Kamus Dewan (2016), kios bererti pondok kecil tempat menjual
rokok, surat khabar, dan lain-lain. Sementara itu, Oxford Dictionary menjelaskan kiosk sebagai a small open-fronted hut or cubcile from which newspapers, refreshments, tickets, etc. are sold.

        Maksudnya, kios ialah sebuah pondok atau kubikel (bilik kecil) yang menjual surat khabar, minuman ringan, tiket dan lain-lain. Dari segi etimologinya, kata kios berasal daripada kata Perancis kiosque, yang membawa maksud sebuah pavilion (astaka) terbuka. Kata tersebut membawa maksud gerai untuk menjual surat khabar di tepi jalan raya (street newstand) sekitar abad ke-17 di Britain. Kamus Online Indonesia pula menerangkan kios sebagai toko kecil (tempat berjual buku, koran, dan sebagainya).

      Kata kios memang konsep baharu yang dimasukkan dalam perbendaharaan kata Melayu. Pada mulanya, konsep tersebut dijelaskan dalam Kamus Winstedt sebagai balai berangin dan pondok. Oleh sebab kedua-dua perkataan tidak dapat menerangkan konsep tersebut dengan jelas, maka kata kios dipinjam untuk mengungkapkan gagasan tersebut. Pertama kali kata kios dimasukkan dalam Kamus Dewan (1970) dengan maksud ‘pondok’ (kedai kecil) tempat menjual buku dan lain-lain. Kata tersebut juga dinyatakan sebagai kata pinjaman Inggeris.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran April

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *