Input PdP Komsas PT3 Fasa Ketiga

      No Comments on Input PdP Komsas PT3 Fasa Ketiga

Oleh Samat Buang

       Sebaik-baik sahaja sesi persekolahan 2017 bermula pengajaran dan pembelajaran (PdP) menggunakan antologi teks Komponen Sastera (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu peringkat sekolah menengah yang diperkenalkan sejak tahun 2000 sudah pun memasuki fasa ketiga. Fasa pertama bermula sejak tahun 2000 hingga 2009; fasa kedua 2010 hingga 2014; dan fasa ketiga 2015 hingga 2019. Fasa pertama mengambil masa 10 tahun, manakala fasa kedua dan ketiga mengambil masa cuma lima tahun.

      Dalam tempoh tersebut pelbagai antologi teks Komsas dan novel digunakan di sekolah secara silih berganti. Seperti biasa, antologi teks Komsas bagi Bahasa Melayu ini diletakkan di bawah Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) dan pengagihan novel dijalankan mengikut empat zon yang ditetapkan. Zon 1 terdiri daripada negeri Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang; Zon 2 terdiri daripada negeri Selangor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Zon 3 terdiri daripada negeri Melaka, Pahang, Kelantan dan Terengganu; dan Zon 4 terdiri daripada negeri Johor, Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan.

     Pada peringkat ini, bagi fasa ketiga rasanya semua guru dan murid sudah pun maklum tentang perubahan teks antologi Komsas dan novel baharu yang bakal digunakan dalam PdP mata pelajaran Bahasa Melayu mulai sesi persekolahan tahun 2017. Oleh itu, fokus perbincangan dalam makalah kali ini tertumpu pada antologi teks Komsas yang baharu dalam fasa ketiga
dan bakal diguna pakai dalam PdP mata pelajaran Bahasa Melayu Tingkatan 1, 2 dan 3, termasuk elemen Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), dan pelbagai isu semasa yang berkaitan dengannya. Pengajaran dan pembelajaran Komsas menggunakan antologi teks baharu yang dilaksanakan mulai bulan Januari 2017 merupakan pelengkap bagi persediaan untuk menghadapi Kertas Bahasa Melayu Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) mulai tahun 2017.

        Secara umumnya, kandungan PdP Komsas selama dua waktu daripada enam waktu yang diperuntukkan terbahagi kepada dua bahagian, iaitu pertama melibatkan teks Komsas dalam bentuk antologi dan kedua melibatkan novel. Setiap antologi yang disediakan masih mengekalkan kelima-lima genre sastera, iaitu genre puisi tradisional, puisi moden, prosa tradisional, cerpen dan drama. Kesemua teks terpilih dalam genre sastera ini disusun sedemikian rupa bagi memudahkan murid mengenal pasti, menghayati, dan seterusnya menimbulkan minat terhadap warisan budaya Melayu yang tinggi nilainya. Melalui karya-karya sastera seperti itu murid dapat mengenali dan menikmati karya sastera hasil nukilan pengarang tanah air. Setiap karya ini mencerminkan akal budi, daya fikir, corak kehidupan, nilai, pengajaran bahasa dan estetika masyarakat.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran April

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *